Wednesday 21 October 2015

KULIT KAYU MANIS DALAM MASAKAN TIADA RISIKO KESIHATAN



KUALA LUMPUR: Penggunaan kulit kayu manis jenis 'cassia' dan 'cinnamon' sebagai bahan rempah dalam masakan tidak mendatangkan risiko kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana kebiasaannya kayu manis yang mengandungi coumarin, iaitu bahan semula jadi yang memberi perisa dalam makanan digunakan sedikit sahaja dalam masakan.

"Kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis cassia adalah lebih tinggi berbanding kulit kayu manis cinnamon, bagaimanapun mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, coumarin dibenarkan dalam rempah ratus dengan tidak melebihi 10 mg/kg," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata kementerian peka dan prihatin terhadap dakwaan media sosial bahawa kulit kayu manis yang dijual di Malaysia adalah berbahaya dan boleh mendatangkan kesan kesihatan kepada hati dan buah pinggang manusia.

"Pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin," katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kulit kayu manis jenis cassia dan cinnamon adalah daripada keluarga yang sama.

Kulit kayu manis cassia turut dikenali sebagai Chinese cinnamon berasal dari selatan China dan turut ditanam di beberapa negara Asia seperti India, Indonesia, Laos, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam manakala kulit kayu manis cinnamon adalah kulit kayu manis Ceylon cinnamon yang berasal dari Sri Lanka.

Orang ramai yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat.

Mereka juga boleh membuat aduan melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...