Friday, 6 January 2012

ASPARAGUS BERNILAI TINGGI




Sulur muda asparagus dikutip sebagai sayuran yang berkhasiat dan bernilai tinggi.



ASPARAGUS merupakan antara sayur yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Biasanya ia ditanam secara komersial oleh para pengusaha dan jarang di tanam secara kecil-kecilan.

Namun, bagi yang gemar berkebun boleh mencuba untuk menanam asparagus di kawasan rumah mereka.


Penyediaan kawasan

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan. Lebar batas satu meter, tinggi antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialan 0.6- 1.0 meter.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5, jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan. Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.


Penanaman dan penjagaan

Biji benih perlu disemai dalam polibeg hitam yang sesuai dengan menggunakan media tanah campuran tiga bahagian tanah atas: Dua bahagian bahan organik: Satu bahagian pasir dan ditambah ½ bahagian sabut kelapa.

Letak satu atau dua biji benih dalam polibeg dan biji benih akan bercambah antara tujuh dan 14 hari dan anak benih dibiarkan selama antara lapan dan 10 minggu ditapak semaian.

Ia perlu disiram setiap hari dan sekurangnya 50 peratus teduhan.

Rumpun asparagus yang berumur lebih setahun boleh dibelah dan dipindahkan sebagai bahan tanaman. Pastikan tunas sulur subur dan mempunyai akar yang mencukupi. Tanam tunas sulur secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari dan angin akan menjejaskan pertumbuhan tunas sulur.

Jarak tanaman yang sesuai ialah satu meter antara barisan pokok dan penanaman sebaris didalam batas adalah sesuai bagi asparagus kerana memudahkan pengurusan tanaman.


Kawalan rumpai

Pengawalan rumpai penting untuk menjamin hasil yang tinggi. Kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.
Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar. Tetapi ia bergantung pada kesesuaian tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan .

Pembajaan dibuat antara tiga dan empat minggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8: 8:8: (80-100 gm/rumpun diselangkan dengan baja NPK biru 12:12:17 (50-80 gm/rumpun) adalah disyorkan dan ditambah bila rumpun membesar.

Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15-20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelakkan larut resap ke udara. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan baja kimia dengan baja organik.


Pemangkasan

Proses pemulihan dilakukan supaya keseimbangan bilangan batang dan daun yang cukup untuk aktiviti fotosintesis serta kegunaan pembesaran selepas melalui aktiviti kutipan hasil.
Program pemulihan memerlukan antara dua dan tiga bulan dan tinggalkan tiga dan empat pokok matang setiap rumpun.

Asparagus perlu dicantas tiga atau empat kali setahun mengikut kesesuaian pokok. Semua pokok matang perlu dicantas di paras tanah dan tinggalkan sulur baru yang dipotong sebagai hasil segar dan yang tidak sesuai biarkan ia membesar.

Perosak dan penyakit

Serangan penyakit layu pucuk (Fusarium sp) menyebabkan pucuk muda hitam ,layu dan terus kering. Serangan kulat Puccinia asparagi menyebabkan tanda bintik hitam atau merah pada batang dan daun.

Penyakit ini dikawal dengan memotong dan musnahkan bahagian yang diserang atau dibuat semburan racun kulat yang sesuai.

Ulat ratus (Spodoptera sp) yang menyerang bahagian pucuk dan dahan dan ulat pangkas memakan bahagian pucuk dan daun,jika serangan serius lakukan semburan menggunakan racun yang sesuai.


Penuaian hasil

Hasil pertama boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Aparagus boleh dituai dalam bentuk tunas putih atau tunas hijau .

Asparagus hijau dimakan segar dan yang putih ditinkan. Bagi mendapatkan asparagus putih rumpun ditimbus tanah dan tunas akan membesar dalam tanah.

Kutipan hasil akan bermula selepas proses cantasan dilakukan,bagi satu musim tempoh kutipan hasil antara satu dan dua bulan. Sulur muda dipotong dengan pisau tajam di bawah paras tanah,elakkan kecederaan sulur muda lain.

Sulur berukuran 15-17 sm sahaja yang dituai. Kelewatan dituai menyebabkan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur akan berkembang menjadi daun. Tuaian hasil antara 25 dan 30 kg seminggu sehektar boleh didapati dan boleh mencapai tiga atau lima tan sehektar/tahun.

Asparagus digred mengikut garis pusat dan panjang rebung, warna, kerapuhan, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit. Ia boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu jika disimpan dlam suhu 0-2 darjah celsius.

No comments:

Post a Comment