Wednesday, 14 March 2012

MENGURUS JENAZAH

 

Mari kita kongsikan adab menguruskan jenazah, oleh Uztaz Lukman Afandi, Pegawai Pendidikan Agama MUIS yang dipetik dari MUiS dan dikemaskinikan dengan informasi dari kitab Majmu' Syarif. Mudah-mudahan bermanafaat.

Kematian merupakan suatu saat yang paling penting dan genting dalam akhir kehidupan manusia. Penting kerana di saat itulah yang menentukan ke arah mana yang bakal dituju selepas itu. Sama ada di tempat yang mendapat rahmat dari Allah atau sebaliknya. Justeru itu, Rasulullah SAW telah mengajar kita agar sentiasa berdoa agar kita berusaha untuk mendapatkan‘Husnul Khatimah’, iaitu akhir kehidupan yang baik.

Ada pun kematian itu merupakan saat yang genting kerana sewaktu menghadapi sakaratul maut iaitu merupakan satu kesakitan yang amat sangat, yang menjadikan orang yang menghadapinya tidak dapat berfikir dengan baik serta tidak merasa ketenteraman disebabkan sakit yang amat sangat yang sedang ditanggunginya. Rasulullah SAW sendiri dalam sebuah hadisnya mengenai kematian pernah menyifatkan keadaan sakit sewaktu sakaratul maut itu lebih dahsyat dari ditusuk dengan 300 bilah pedang.

Bagi membantu orang yang sedang menghadapi kematian serta menenangkannya dalam menanggung kesakitan yang amat sangat itu, beberapa panduan yang telah disenaraikan oleh syarak untuk melakukannya bagi ahli keluarga atau sesiapa yang menziarahi orang yang sedang menghadapi kematian dan selepas kematian:

Perkara-perkara yang perlu dilakukan menghadapi orang sedang nazak: 

a) Apabila pesakit sedang menghadapi kematian, disunatkan bagi ahli keluarganya atau sesiapa yang menziarahinya agar membaringkannya dengan memiringkan ke kanan dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika perkara ini sukar dilakukan maka hadapkan sahaja mukanya ke arah kiblat dengan meninggikan kepalanya dengan bantal.

b) Disunatkan juga agar mengajarkannya membaca kalimah syahadah iaitu, 'Laailaahaillallaah' dengan membisikkan di telinganya dengan lembut dan perlahan berulang kali. Ini sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud,“Ajarkan kepada orang yang sedang menghadapi kematian bacaan 'Laailaahaillallaah' .” (Hadis riwayat Muslim)

Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud, “Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca surah Yasin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

c) Disunatkan juga agar diingatkan kepadanya supaya berbaik sangka dengan Allah dan mengharapkan pengampunannya serta berdoa agar dimatikannya dengan keadaan beriman dengan Allah SWT.

d) Dititiskan air di tekaknya sedikit demi sedikit (jangan sampai dia tersedak) kerana ada riwayat orang yang sedang sakaratul itu kehausan.

e) Disiwakkan (disugi) perlahan-lahan dengan kayu siwak.

Perkara yang perlu dilakukan bagi menyelenggara orang yang baru menghembuskan nafas terakhir. 

a) Hendaklah ditutup mata dan mulutnya (jika terbuka).

b) Mengusap dan mengurut seluruh anggotanya khususnya bahagian sendi iaitu di pergelangan tangan, siku, peha, lutut dan kaki. Ini bagi memastikan keseluruhan sendi menjadi lembut bagi memudahkan urusan memandikan jenazah.

c) Meletakkan satu benda yang berat di atas perutnya dengan tujuan agar tidak dimasuki angin.

d) Menyalinkan pakaiannya yang sedang dipakai dengan kain yang dapat menutup seluruh anggota badannya.

e) Setelah itu disunatkan agar menyegerakan penyelenggaraan mayat tersebut dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan seterusnya mengebumikannya.

Syarat-syarat mayat yang perlu dimandikan :
  1. Mayat itu seorang Islam
  2. Ada tubuhnya walaupun sedikit
  3. Meninggal bukan kerana mati syahid
Jenazah haram dimandikan :
  1. orang mati syahid – iaitu orang yang mati de medan perang untuk menegakkan/membela agama Allah dan mayat ini haram pula disolatkan
  2. orang kafir dan munafik – kafir ialah orang yang terang-terangan mengingkari ajaran Islam, sedang munafik ialah orang yang lahirnya beragama Islam tetapi batinnya memusuhi Islam.
Tatacara memandikan mayat 

Tentang cara-cara memandikan jenazah, yang harus diperhatikan sebagai berikut :

a) Hendaklah meletakkan mayat di tempat yang tinggi sedikit dari permukaan lantai serta ditutupi seluruh tubuh badannya dengan kain.

b) Dibersihkan terlebih dahulu segala najis yang ada pada badannya. Setelah itu, diangkat sedikit bahagian atas badan si mati dengan tangan kanan orang yang memandikannya dengan memegang tengkok mayat tersebut manakala tangan kirinya diusap-usap perut si mati agar keluar segala baki kotoran di perutnya. Lalu dibersihkan dan dibasuh tempat tersebut.

c) Kemudian dibersihkan mulut dan lubang hidung diikuti dengan mengwudukkannya. Setelah itu dibasuh kepala dan mukanya.

d) Kemudian meratakan air ke seluruh tubuhnya dan sebaik-baiknya tiga kali (sunat) atau lebih jika dianggap perlu, siraman yang pertama dibersihkan dengan sabun, siraman yang kedua dengan air bersih dan yang ketiga dengan air yang bersih dan dicampur dengan kapur barus atau dengan siraman air mawar atau bidara dengan dimulakan dari kepala bahagian kanan atau anggota wuduk, kemudian seluruh tubuhnya sebelah kanan dan akhirnya sebelah kiri.e) Jika mayat tersebut wanita, maka sudah semestinya wajib dimandikan oleh wanita atau suaminya. Dan jika mayat tersebut lelaki, maka wajib pula dimandikan oleh lelaki atau isterinya sendiri.

4 – Cara mengkafankan mayat 


a) Jika sekiranya mayat tersebut seorang lelaki, maka elok dikafankan dengan tiga helai kain sekurang-kurangnya untuk menutupi aurat dan seluruh tubuhnya. Jika ianya seorang wanita, maka dengan lima helai kain putih yang panjang lebih kurang sama dengan tubuh si mati.

b) Makruh dikafankan si mati dengan kain selain warna putih. Ini seperti yang telah dijelaskan di dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Rasulullah SAW telah dikafankan dengan tiga helai kain putih tanpa baju atau serban.” Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Pakailah pakaian yang berwarna putih, kerana ia adalah sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah mayat saudaramu dengan kain putih.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

c) Jenis kain yang digunakan sebagai kafan mestilah jenis yang boleh dipakai oleh orang yang hidup. Oleh itu, tidak harus menggunakan kain kafan bagi mayat lelaki dengan kain sutera kerana lelaki diharamkan memakainya.

d) Dibolehkan menabur kapur barus atau pacai di anggota badan si mati seperti tangan, dahi dan kaki dan atas kafannya.

5 – Solat Jenazah 

a) Sedia maklum bahwa hukum menyelenggarakan mayat dan menyembahyangkannya ialah fardu kifayah yakni jika ada segolongan orang yang melaksanakannya maka tidak wajib bagi orang yang lain melakukannya akan tetapi diberi pahala bagi orang yang melakukannya. Solat jenazah ini tidak sah dilakukan melainkan sesudah mayat tersebut sempurna dimandikan.

b) Sewaktu hendak mula menyembahyangkannya, mayat yang telah dikafankan itu hendaklah diletakkan di hadapan orang yang mensolatkannya.

c) Bagi mayat lelaki, imam haruslah berdiri di bahagian kepala si mati manakala jika ianya wanita maka imam haruslah berdiri di bahagian badannya.

d) Disunatkan agar mereka yang sama-sama menyembahyangkan mayat tersebut sekurang- kurangnya membuat tiga barisan (saf) atau lebih dengan jarak antara satu barisan dengan barisan di belakang hanya satu jengkal setengah atau dua jengkal.

6 – Cara mengerjakan solat jenazah
Solat jenazah dapat dilakukan atas seorang mayat atau beberapa mayat sekaligus. seorang mayat boleh disolatkan berkali-kali. Misalnya jenazah sudah disolatkan oleh sebahagian osrang, kemudian datanglah beberapa orang lagi untuk menyembahyangkannya dan seterusnya. Jika solat dilakukan berjemaah, maka imam berdiri menghadap kiblat, sedang makmum berdiri dibelakangnya. Solat jenazah tidak dengan rukuk dan sujud serta tidak ada azan dan iqamah.
a) Solat jenazah mempunyai empat takbir termasuk takbiratul ihram. Pada takbir pertama diniatkan, “Sahaja aku sembahyangkan jenazah (hadir/ghaib) empat kali takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala.”

b) Takbiratul ihram, mengucapkan "Allahu akbar" bersama niat seperti yang disebutkan di atas. Selepas takbir pertama hendaklah membaca surah al-Fatihah tanpa membaca suah-surah lain.
c) Setelah habis al-Fatihah maka diangkat takbir yang kedua dan membaca selawat ‘Ibrahimiyyah’ yakni selawat yang dibaca sewaktu kita bertahiyat (Allahumma salli 'ala sayyidina Muhammad).
d) Selepas itu diangkat takbir ketiga dan disusuli dengan membaca doa ke atas mayat sekurang-kurangnya membaca *“Allahummaghfir lahu warhamhu” ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmatmu ke atasnya.” Lebih sempurna lagi membaca doa sebagai berikut : "Allahummaghfir lahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu wa akrim nuzulahu wassi' madkhalahu wagsilhu bil-ma-i was-salji wal-baradi wa naqqihi minal-khataya kama yunaqqas-saubul-abyadu minad-danasi wa abdilhu daran khairam min darihi wa ahlan khairam min ahlihi wa zaujan khairam min zaujihi wa adkhil-hul-jannata wa a'izhu min 'azabil-qabri wa fitnatihi wa min 'azabin-nar".
e) Selepas itu diangkat takbir keempat diikuti dengan membaca * “Allahumma laa tahrimna ajrahu, walaa taftinna ba’dahu waghfir lana wa lahu” ertinya, “Ya Allah, janganlah kau halangkan pahalanya kepada kami dan janganlah kami diberi bala atau cubaan selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia (si mati)”.
f) Selepas itu, memberi salam ke kanan dan ke kiri seperti solat-solat yang lain dengan ucapan, "As-salamu 'alaikum wa rahmatulahi wa barakatuh", ertinya, "Keselamatan, rahmat dan barkah Allah semoga tetap pada kamu sekalian".

NB : * Pengganti nama ‘Hu’ adalah untuk mayat lelaki, jika mayat wanita digantikan dengan pengganti nama ‘Ha’.
“Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmat-Mu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaan-Mu”. Amiin.


Pahala mengiringi jenazah

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya pahala yang mula-mula diberikan kepada hamba yang beriman sesudah matinya ialah semua orang yang mengiringi jenazahnya mendapatkan keampunan (dari Allah).” (Hadis riwayat Baihaki melalui Ibnu Abbas r.a.)

Daripada Thauban maula Rasulullah SAW bersabda bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa menyembahyangkan jenazah, maka baginya satu qirat pahala. Dan apabila dia turut serta menyaksikan pengebumiannya, maka baginya dua qirat pahala. (Ditanya baginda: Apakah itu qirat wahai Rasulullah?) Sedangkan besar satu qirat itu seperti besarnya gunung Uhud.”

Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. : Rasulullah SAW pernah bersabda, “Apabila jenazah telah siap dan para lelaki mengusungnya di atas bahunya, jenazah orang soleh akan berkata, ‘cepatlah’. Tetapi jenazah orang yang tidak soleh akan berkata, ‘celakah ! ke mana kamu akan membawaku?’. Suaranya terdengar oleh semua alam, kecuali manusia. Dan sekiranya manusia (dapat mendengarnya) ia akan jatuh pengsan.”

Dalam mazhab Syafie, sunnah dalam mengiringi jenazah adalah orang ramai pergi dahulu ke kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Manakala dalam mazhab Hanafi pula, jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith.

Sebutlah kebaikan jenazah

Dari Ibnu Umar telah berkata, Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari Anas r.a. katanya: Satu jenazah diusung melalui satu tempat. Lalu orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. “Ya, wajib (pasti).” Berkata Rasulullah SAW menyetujuinya. Kemudian berlalu pula usungan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula: “Mayat yang jahat.” Berkata Rasulullah SAW, “Ya, wajib (pasti)!” Maka bertanya Umar bin al-Khattab: “Apakah yang wajib (pasti) ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.”(Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment