Monday, 12 March 2012

RUMAH ALAMI GANGGUAN MISTERI SELEPAS DISEWA KRU PRODUKSI 'TANAH KUBUR'

Pemilik Rumah 'Diganggu' Kerana Drama 'Tanah Kubur'

PETALING JAYA – Pemilik sebuah rumah yang disewa kru produksi drama seram mendakwa kediamannya menerima ‘gangguan’ selepas penggambaran drama bersiri Tanah Kubur pada bulan lalu.
Zainab Baharuddin, 65, atau mesra disapa Mek Nab memberitahu, rumahnya yang terletak di Kuang, Sungai Buloh itu ‘diganggu’ dengan pelbagai kejadian pelik termasuk bunyi rumah diketuk dan seakan ada orang menggaru dinding selepas penggambaran drama itu berakhir, kira-kira tiga minggu lalu.
“Mulanya, saya tidak mahu untuk percaya pada ‘gangguan’ itu tapi apabila cucu saya mendengar bunyi dinding rumah kami diketuk dan dicakar pada pukul 2 pagi, kami jadi tidak selesa.
“Malah, saya sendiri pernah mendengar gangguan tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini.
Ketika ditanya mengenai perkembangan ‘gangguan’ berkenaan, Mek Nab berkata perkara itu berakhir selepas dia mengamalkan bacaan surah Yasin di dalam rumahnya.
“Saya ini jenis yang susah hendak percaya pada benda pelik-pelik macam itu, jadi saya hanya membaca surah Yasin dan apabila kejadian itu berlaku saya bercakap seolah-olah meminta supaya gangguan itu berhenti.
“Alhamdulillah, kini ‘gangguan’ itu sudah tiada lagi dan saya berasa serik untuk menyewakan rumah kepada produksi drama atau filem seram lagi selepas ini,” katanya.
Mek Nab menunjukkan dinding rumahnya yang “dicakar” selepas penggambaran drama itu.
Katanya, ‘gangguan’ itu pertama kali berlaku kepada keluarganya sejak dia menyewakan rumah bagi tujuan penggambaran drama atau filem sejak beberapa tahun yang lalu.
“Kalau diikutkan saya memang keberatan untuk menyewakan rumah untuk penggambaran drama atau filem seram dan tahyul tetapi disebabkan mereka (kru produksi) merayu, saya jadi kasihan pula.
“Tapi tidak sangka pula, pada kali ini, rumah saya mendapat ‘gangguan’ kerana sebelum ini tidak pernah pun kejadian pelik ini berlaku,” katanya.
Susulan kejadian itu, Mek Nab berkata pada masa akan datang dia hanya akan mempertimbangkan untuk menyewakan rumahnya bagi penggambaran drama atau filem selain daripada genre seram sahaja.
Sementara itu, pengarah drama terbabit, Rashid Sibir yang dihubungi berkata dia tidak pasti sama ada ‘gangguan’ itu berpunca daripada penggambaran dramanya atau produksi lain.
“Saya tidak tahu sama ada kejadian itu berpunca daripada pihak kami, penggambaran drama lain atau mungkin juga secara kebetulan.
“Apa yang pasti, penggambaran Tanah Kubur tidak membabitkan pemujaan, kemenyan atau peralatan yang boleh menggalakkan kehadiran ‘gangguan’ itu.
“Sebaliknya, drama arahan saya itu hanyalah tentang mayat orang meninggal dan upacara penyempurnaan jenazah yang melibatkan ayat-ayat Al-Quran dan bukan berkaitan syaitan atau perkara mistik,” katanya.
Rashid berkata dakwaan sebegitu pertama kali didengarnya sejak Tanah Kubur dilanjutkan sehingga musim ketiga.
Musim terbaru drama 13 episod itu disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 7.30 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) bermula 24 Februari lalu. (Mstar.com.my)

No comments:

Post a Comment