Saturday, 20 October 2012

KEBAKARAN DI SEMPOERNA, 611 PENGHUNI KAMPUNG SELAMAT, TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG !

KEBAKARAN BESAR: Penduduk Kampung Selamat berpusu-pusu menyelamatkan harta benda di kediaman masingmasing ketika kebakaran berlaku.

 

SEMPORNA  : Seramai 611 penghuni di Kampung Selamat, Simunul, tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman yang diduduki musnah dalam satu kebakaran yang memusnahkan 81 rumah di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu.

Namun difahamkan lima penduduk cedera kerana melecur di bahagian kaki dalam kebakaran itu dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Semporna.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd Razali Awang Ahmad, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jelasnya, bomba hanya mengambil masa beberapa minit untuk tiba ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna.

Menurut beliau, operasi memadam api turut menerima bantuan daripada sebuah jentera dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau selain dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Daerah Kunak.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 1.50 petang.

“Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 3.53 petang serta kami difahamkan lima penduduk tercedera kerana melecur di dalam insiden itu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya sambil menambah, hasil siasatan awal mendapati jumlah kerugian mencecah kira-kira RM938,000.

Kampung Selamat yang rata-ratanya merupakan penempatan di atas air dan padat dengan kapasiti penghuninya sekitar 3,000 orang itu terletak berhampiran bandar Semporna.

SUMBER :  Borneo Post

No comments:

Post a Comment