Wednesday, 17 October 2012

WARIS RAJA RICHARD III BERDEBAR TUNGGU KEPUTUSAN UJIAN DNA

 
GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.

LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.
Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.
Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.
Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.
Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.
Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.
Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.
Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.
Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.
Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.
Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.
Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17, bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. - Agensi

No comments:

Post a Comment