Tuesday, 25 December 2012

MARI BERAMAL - KELEBIHAN SURAH AL-MULK

 

Daripada Ibn Abbas, beliau berkata kepada seorang lelaki:

Mahukah aku hadiahkan kamu dengan sebuah hadith yang akan menggembirakan kamu? Lelaki itu menjawab: Bahkan.

Katanya: Bacalah surah Tabarakallazi biyadihi al-mulk (surah al-Mulk ) , dan ajarkanlah kepada keluargamu serta semua anak pinakmu, kanak-kanak di dalam rumahmu, serta jiran tetanggamu. Kerana surah ini ...adalah penyelamat dan juru bicara yang akan berhujah bagi, pihak pembacanya pada hari kiamat di sisi Tuhannya. Ia (surah ini) akan meminta kepada Allah supaya mneyelamatkan pembacanya daripada azab neraka, dan menyelamatkannya daripada azab kubur.

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka surah ini berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku..

Surah Al Mulk (beerti Kuasa Pemerintahan) merupakan Surah yang ke-67 di dalam Al Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.


Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”
(HR At Tarmizi)

Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.
(HR At Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)
(HR At Tabrani)

An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”

Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”

Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”

Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.

Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”

Ya Allah ! Selamatkanlah kami daripada azab-Mu dengan keampunan-Mu.....


No comments:

Post a Comment