Thursday, 15 August 2013

MAYAT WANITA DI MAKAN KUCING PELIHARAANNYA


London : Seorang wanita Hampshire ditemui dengan tubuhnya tinggal separuh selepas dimakan oleh kucing peliharaannya berikutan mayatnya tidak ditemui selama dua bulan.

Mayat Janet Veal ditemui di dapur kediamannya, dua bulan selepas dia meninggal dunia bersama sebilangan besar kucing dan anjing yang hidup dan juga yang sudah mati.
Haiwan berkenaan terperangkap dalam ruang sempit bersama mayatnya dan kemungkinan tidak diberi makan sejak beberapa bulan. Pegawai polis yang berkunjung ke kediamannya menjelaskan bahawa mayat wanita berusia 56 tahun itu sudah “digigit dan dimakan” oleh haiwan peliharaannya.
Jiran tetangga dikatakan sudah memaklumkan kepada polis mengenai Janet selepas mereka tidak melihatnya sejak beberapa lama. Polis mengesahkan Janet mati secara semula jadi. Rekod perubatannya mendedahkan Janet menghidap masalah sakit dada dan walaupun bedah siasat ternyata sukar kerana mayatnya yang sudah reput dan anggota badan yang hilang, pakar patalogi menyimpulkan bahawa kematian Janet mungkin akibat penyakit pulmonari kronik.
Pegawai polis Dave Ivey menemui mayat Janet dan menyatakan haiwan peliharaannya tidak dapat keluar dari tempat di mana mayat wanita itu ditemui.
Koroner Keith Wiseman berkata, haiwan berkenaan mungkin terkurung di tempat mayat ditemui selama beberapa bulan.
“Jelas sekali bahawa bahagian tertentu mayat Janet hilang dan mungkin digigit serta dimakan haiwan berkenaan.
“Kita dapat bayangkan bagaimana perasaan pegawai polis itu apabila bertemu dengan mayat Janet,” katanya.
Selepas mengesahkan bahawa wanita itu mati secara semula jadi, Wiseman berkata, tiada tanda menunjukkan bahawa Janet diserang oleh haiwan itu ketika dia masih hidup. “Saya yakin Janet mati secara semula jadi kerana tiada bukti menunjukkan dia diserang oleh haiwan peliharaannya itu,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment