Monday, 2 December 2013

GUNUNG KERIANG - SEMAKIN DILUPAKAN

Gunung Keriang kian sepi

ALOR SETAR  -  Apabila disebut nama Gunung Keriang, di sini, pastinya orang awam khususnya masyarakat setempat dan pelancong tempatan terkenang keunikan batu kristal semula jadinya.

Apatah lagi, apabila mereka memperoleh kesempatan menerokai Gua Gunung Keriang, pastinya pengalaman melalui selok-belok laluan gua yang mencabar menjadi memori tidak dilupakan.

Walaupun memiliki keindahan alam semula jadi tersendiri, entah di mana silapnya apabila bilangan pelancong didakwa kian berkurangan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Taman Rekreasi Gunung Keriang bukan sahaja kurang penyelenggaraan, malah ketiadaan kemudahan awam tertentu kemungkinan menjadi antara penyumbang keadaan ini.

Keadaan bangku rehat didapati kian usang, kerosakan beberapa alatan permainan turut kelihatan, sementara kemudahan tandas awam mahupun surau juga didakwa rosak serta seakan tiada untuk kegunaan pelancong.

Pelancong kian berkurangan

Peniaga, Tijah Yaacob, 64, berkata, perniagaan batu kristal mereka yang rancak pada awalnya, kian lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pelancong tak kira sama ada tempatan mahupun antarabangsa kian berkurangan.

“Kini, hanya pelancong tempatan yang datang, manakala dari luar negara seolah-olah sudah tidak ada lagi. Sekiranya, saya boleh menjana pendapatan kira-kira RM300 sehari dahulu, namun kini tidak lagi.

“Sekarang, nak dapat RM100 pun semakin susah. Pernah juga hasil jualan yang diperoleh hanya RM20 sehari,” katanya.

Tandas rosak

Tijah berkata, keadaan persekitaran dan kemudahan infrastrukturnya yang agak terhad akibat kerosakan, mungkin telah menimbulkan ketidakselesaan pada pelancong yang mengunjungi kawasan ini.

“Bagaimana, mereka mahu melawat kawasan ini, sekiranya kemudahan awam seperti tandas rosak teruk. Jadi, mereka tidak dapat berjalan-jalan dengan selesa,” katanya.

Difahamkan, keadaan tandas tidak terurus ini didakwa sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, malah peniaga sendiri didakwa perlu pulang ke kediaman masing-masing untuk ke tandas.

Gerai kayu perlu diganti

Malah, keadaan kira-kira 11 gerai kayu milik penduduk tempatan termasuk Tijah dipercayai kian rosak, namun masih tidak dibaiki, sedangkan mereka menjual aneka cenderahati kepada pelancong.

Tijah berkata, sebahagian gerai tidak berbumbung zink, manakala kebanyakannya berada dalam keadaan kurang baik.

Katanya, gerai miliknya sudah beberapa kali di pecah masuk pencuri, namun sekiranya pihak berkenaan membantu mengubahsuainya pastinya insiden terbabit tidak akan berulang kembali.
Taman permainan uzur

Bagi Nur Marsya Amran, 12, kerosakan beberapa alatan permainan di Taman Rekreasi Gunung Keriang menimbulkan kesulitan kepada mereka untuk bermain-main di kawasan tersebut.

Bukan setakat mengalami kerosakan, namun katanya lebih menyedihkan apabila beberapa batang besi buaian didakwa hilang disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu.

“Kini, kami hanya boleh bermain papan gelongsor sahaja ekoran beberapa alatan permainan sudah uzur, manakala sebahagiannya pula hilang. Jadi, kanak-kanak yang menemani ibu bapa tidak dapat bermain semasa mengunjungi kawasan ini,” katanya.

Berita baik dari MBAS

Sekiranya, keadaan sedemikian dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan dikhuatiri, akhirnya produk pelancongan ini tidak lagi dikunjungi, malah kian dilupakan orang ramai.

Justeru, masyarakat tempatan khususnya peniaga merayu supaya kemudahan awam terbabit dapat diselenggarakan mahupun dinaik taraf segera demi menarik perhatian pelancong semula.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bukan sahaja sedia maklum, sebaliknya turut prihatin mengenai keadaan kemudahan awam di Gunung Keriang, dekat sini.

Katanya, pihaknya tidak lepas pandang mengenai perkara terbabit, sebaliknya telah merancang penambahbaikan seperti menaik taraf medan selera dan membina gerai baru untuk penjual kristal.

“Kami sudah dapat 'lampu hijau'. Malah, pelan juga sudah ada. Cumanya, bukan sekarang, tapi tahun depan. Insya-ALLAH, sebaik menerima peruntukan, maka kerja-kerja akan dilakukan segera,” katanya.


sumber  -  Sinar Harian

No comments:

Post a Comment