KUALA LUMPUR 29 Feb. - Hanya serbuk gelatin yang diimport dari China dan Pakistan yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Penolong Pengarah Kanan JAKIM Mohd. Amri Abdullah berkata, pengiktirafan diberi kepada kedua-dua negara itu kerana ia mempunyai permit import untuk gelatin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), badan yang bertanggungjawab terhadap pemeriksaan rumah sembelihan dan loji pemprosesan hasil haiwan.
"Bila kita terima permohonan daripada negara luar JPV dan JAKIM akan buat pemeriksaan ke loji dan rumah penyembelihan untuk memastikan pemohon menepati syarat serta peraturan yang ditetapkan antaranya mematuhi aspek kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Ubat-Ubatan 2012 anjuran Jabatan Farmasi Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Mohd. Amri berkata, selain menjalankan pemeriksaan terhadap loji dan rumah sembelihan, JPV serta Jakim juga akan memeriksa tulang dan kulit haiwan yang diguna untuk memastikan ia daripada sumber yang halal. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment