Tuesday, 14 February 2012

'HASBUNALLAH WA NIK'MAL WAKIL'

Hasbunalah wa nik’mal wakil ialah peluru terakhir para pejuang Islam. Ungkapan yang penuh makna tersirat ini terkeluar dari mulut hamba-hamba Allah yang mempunyai iman yang teguh, pada saat yang getir dan dikelilingi pelbagai ancaman.

Iman al-Bukhari meriwayatkan daripada sepupu Rasulullah SAW; Abdullah bin Abbas r.a. bahawa beliau telah berkata: “Ungkapan ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’ telah diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika dihumbankan (oleh kaumnya yang memusuhi dakwah baginda) ke dalam api yang marak menyala.”

Ungkapan ini juga disebut oleh Rasulullah SAW ketika dimaklumkan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka. Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’ (lihat surah ‘Ali Imran 3:173).” (Hadis riwayat al-Bukhari ni 4287)

Cukup Allah sebagai Penolong

Ðalam kitab ‘Umdah al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, diterangkan bahawa makna ungkapan ini adalah: “Cukuplah Allah bagi kita (sebagai Penolong) dan Ðialah sebaik-baik Wakil (untuk kita bertawakal).”

Inilah sebenar-benar hakikat penyerahan diri yang hanya kepada Allah. Setelah segala perangcangan dan strategi dakwah dilaksanakan, maka langkah terakhir adalah dengan berserah serta bergantung sepenuhnya kepada Allah terutama ketika ancaman sedang memuncak. Kebiasaannya, musuh memiliki kelengkapan yang hebat dan jumlah bala tentera yang besar. Mereka bergantung sepenuhnya kepada dua faktor ini.

Namun, bagi golongan Mukmin, walaupun kelengkapan materialnya lebih kecil jika dibandingkan dengan pihak musuh, tetapi pergantungan kepada Allah Yang Maha Kuasa telah memberi kelebihan kepada mereka. Malangnya, apabila golongan Islam kurang bergantung kepada Allah dan berasa cukup dengan senjata dan strategi yang diatur, maka ini menjadi punca kelemahan dan kekalahan.

Ungkapan yang menyelamatkan Nabi Ibrahim

Kisah Nabi Ibrahim terlalu banyak dinukilkan dalam al-Quran. Al-Syeikh Muhammad Fuad Abdul baqi menyatakan dalam kitab beliau; al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran bahawa Nabi Ibarahim disebut sebanyak 69 kali dalam 25 surah al-Quran.

Peristiwa Nabi Ibarahim yang ktia bincangkan di sini diabadikan dalam surah al-Anbiya’ bermula ayat 51 hingga 71. Ia berlaku pada awal zaman dakwah baginda iaitu di negeri Babil (Babylon).

Sepanjang menyampaikan ajaran Islam, baginda terpaksa berhadapan dengan ayahnya sendiri, masyarakat dan pemerintah ketika itu. Ayat-ayat dalam surah al-Anbiya’ merakamkan dialog dan hujah Nabi Ibrahim dengan mereka, yang kesemuanya berakhir dengan kemenangan hujah baginda. Menjadi lumrah golongan yang jahat dan busuk hatinya sepanjang sejarah kemanusiaan, apabila mereka tewas berhujah, maka kekasaran menjadi pilihan.

Nabi Ibrahim lalu ditangkap dan diheret ke suatu tempat yang telah dinyalakan api yang begitu marak. Baginda terpaksa berhadapan dengan lawan yang sangat ramai, dan sesuai dengan kudrat seorang manusia, baginda tidak mampu untuk menghadapinya. Api semakin mengganas, kaumnya bersorak kegembiraan kerana mereka bakal menyaksikan anak muda yang menongkah arus penyembelihan berhala dulu, kini dan selamanya akan hangus dibakar seketika nanti.

Namun, dalam keadaan getir inilah, terbukti pergantungan hati yang hebat kepada Allah lantas terkeluar dari mulut baginda ungkapan: ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’. Maka, Allah yang menjadikan api bersifat panas dan membakar, telah mmerintahkan api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar, lalu terselamatlah Nabi Ibrahim a.s. Pertolongan Allah muncul dengan cara yang tidak disangka-sangka!

Yakin dengan pertolongan Allah

Ungkapan ini juga disebut oleh Rasulullah SAW apabila Baginda diberitahu bahawa tentera Quraisy yang dikepalai oleh Abu Sufyan bersama-sama bala tentera yang ramai dan lengkap bersenjata sedang bersiap sedia untuk menyerang (lihat surah ‘Ali Imran 3:173).

Terdapat dua riwayat tentang peperangan tersebut. Riwayat pertama menyatakan bahawa ia adalah perang Hamra’ al-Asad yang berlaku sebaik sahaja perang Uhud berakhir. Riwayat kedua pula menyatakan ia berlaku dalam perang Badar al-Sughra yang tercetus setahun selepas perang Uhud. Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan hujah kedua-dua riwayat tersebut kerana perkara yang lebih penting di sini ialah teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan musuh dan propaganda-propaganda mereka.

Musuh Islam akan sentiasa menyebarkan serangan-serangan psikologi untuk melemahkan semangat umat Islam, sehingga ada kalanya berjaya menggoncang pendirian sebahagian umat Islam yang lemah imannya. Walaupun diuar-uarkan betapa ramainya bala tentera musuh dan hebatnya kelengkapan mereka, Rasulullah SAW dan golongan mukmin dengan penuh yakin menegaskan bahawa pertolongan Allah pasti mengatasi segalanya. Ðan ini terbukti seperti mana yang telah disebutkan dalam firman Allah SWT di atas.

Persiapan kita hari ini

Setiap mukmin yang peka dengan perkembangan Islam bahkan turut sama menggembleng tenaga serta wang ringgit untuk menyebarkannya, pasti akan berhadapan dengan musuh-musuh yang sentiasa berusaha emmadamkan cahaya Allah di atas muka bumi ini.

Musuh pada zaman moden kini pastinya lebih hebat dan canggih peralatan mereka. Mereka melakukan serangan pemikiran melalui media-media yang dikuasai, serangan ekonomi, persenjataan dan teknologi. Maka dalam situasi ini, setelah siap segala persiapan dan stragegi yang disusun rapi, golongan mukmin perlu senitasa mencontohi Nabi Ibrahim a.s. dan Rasulullah SAW yang berbekalkan peluru terakhir kita, ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’.

Rujukan : Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Solusi ISU#39

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...