Friday, 25 May 2012

IBU BERPRESTASI ANAK BERKUALITI



Tahukah anda, perkembangan minda, mental dan fizikal anak bergantung pada prestasi ibu yang mendampingi mereka. Tak percaya?

Ibu berprestasi tidak semestinya mreka yang menduduki jawatan tinggi dan gaji besar, bahkah si ibu yang sederhana tetapi amat disiplin membahagi masanya untuk anak mungkin lebih berpeluang mendapat anak-anak yang hebat. Atau mereka yang mempunyai keahlian tertentu dan sangat bangga dengan dirinya akan membawa pengaruh positif dalam proses mendidik anak.

Walaupun si ibu hanya seorang penjual karipap, tetapi dia amat bangga dengan hasil jualannya, kemudian perasaan bangga dan gembira itulah yang dibawanya bersama ketika berinteraksi dengan anak, tentu perasaan positif sebegini akan mempengaruhi jiwa anak untuk lebih bersemangat membina kehidupannya. Anak juga akan berasa amat menghargai ibu yang telah menunjukkan pengorbanannya untuk keluarga.

Tetapi, jika si ibu yang kononnya berpangkat tinggi pulang membawa masalah dan tekanan sehingga mempengaruhi interaksinya dengan anak, tentu si anak akan berasa kecewa didampingi ibu yang kerap marah-marah, stress, tak menghargai apatah lagi sudi memuji anak. Oleh itu, siapapun anda dan apapun status yang anda pegang, bergembiralah di hadapan anak-anak kerana ia menunjukkan anda bersedia memberi impak positif pada anak.

Apakah ciri-ciri anda berprestasi supaya anak-anak tumbuh dengan kualiti sahsiah yang hebat?

1 – Kuat semangat

Anda tidak pernah rasa malu walaupun harus bersaing dengan ibu-ibu hebat yang berkelulusan tinggi dan bergaji besar. Tidak menganggap kekurangan rupa dan harta menjadi faktor kegagalan dalam mendidik anak.

Pernahkah anda mendengar seorang anak yang gagal dalam peperiksaan akhirnya menjadi orang yang hebat kerana ibunya terus memberi semangat ketika susah tanpa sesekali menjatuhkan maruahnya walaupun dia pernah gagal? Tetapi berapa ramai anak-anak yang terus terkubur masa depannya angkara ibu yang suka mengaibkan mereka, memberi pengaruh negatif dan melemahkan semangat dengan caci maki dan sumpah serapah bagaikan mantera jahat yang ditiupkan ke dalam jiwa anak.

2 – Fikiran yang positif

Seteruk apa pun anda diuji oleh karenah anak yang liar, nakal dan bebal, jangan sesekali bersangka buruk pada yang menggariskan takdir. Bersangka baiklah kepada Allah SWT yang telah menjadikan anak kita sebaik-baik bentuk kejadiannya. Jika dia terjerumus sekali ke sebuah lubang yang hina, jangan matikan semangatnya dengan gelaran serba negatif.

Sangka baiklah padanya sebagai tanda anda bersangka baik pada Tuhannya. Semua kesilapan itu adalah hasutan iblis laknatullah, anak-anak itu pada mulanya suci. Jadi, jangan burukkan keadaan dengan melepaskannya di bawah penjagaan Iblis sepanjang hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda, “Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah dan masing-masing terdapat kebaikan. Bersemangatlah menunaikan kerja yang bermanfaat bagi dirimu, mohonlah kepada Allah dan jangan lemah. Jika tertimpa sesuatu janganlah kamu katakan: ‘Seandainya aku melakukan ini akan jadi begini dan begitu.’ Tetapi katakan: ‘Apa yang telah ditentukan dan dikehendaki Allah pasti terjadi.’ Kerana sesungguhnya kata-kata itu membuka tipu daya syaitan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Tentunya anda tak rela Iblis mempengaruhi cara anda mendidik anak, jadi cepat bersiaplah mengambil alih amanah ini sebelum terlambat dan temukan faktor-faktor yang menyebabkan anda tidak amanah dalam menjaga anak anda.

Permulaan untuk melakukan perubahan dalam diri anak kita adalah dengan fikiran yang positif bahawa segalanya adalah mungkin! Jangan kesali apa yang telah berlaku, jangan sebut perkataan ‘kalaulah begini akan jadi begini’ kerana ia dilarang oleh agama. Ia menunjukkan kita menolak dan benci pada takdir Allah SWT. Lupakan yang sudah dan berubahlah bersama anak anda dengan minda yang positif.

3 – Tawakal kepada Allah SWT

Jangan lupa bahawa kuasa perubahan itu ditentukan Allah SWT, anda hanya berusaha dan tidak semestinya berjaya. Mungkin belum masanya anak-anak mencapai target yang anda rancang sebelumnya. Boleh jadi ianya memerlukan proses yang panjang untuk menjadikan anak kita berjaya dan soleh. Ada yang imannya tidak diragukan lagi tetapi dalam bidang akademiknya merosot.

Kadangkala anak kita hebat di sekolah, tetapi kadangkala hatinya masih suka mendengar hasutan syaitan. Tidak semua yang kita harapkan akan sempurna, cacat cela adalah hal yang biasa kerana ia sifat manusia. Bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan terbaik selepas kita berikhtiar. Ðoa anda malam ini mungkin termakbul 10 atau 20 tahun lagi.

Ada seorang anak yang mendapat hidayah setelah berumur 60 tahun disebabkan ibunya yang tidak pernah berhenti berdoa. Jadi, tak rugi anda berdoa kerana Allah pasti memakbulkannya, jika tidak di dunia pasti di akhirat.

Ibu yang berprestasi sentiasa mengamalkan tiga petua ini, anak kita milik Allah SWT, jadi jangan sedih jika sesekali Ðia menguji dengan karenah mereka. Jangan berhenti berprestasi dan tunggu saatnya kejayaan itu menjelma, insya Allah!


Sumber : Ðr Juanda Jaya di MW#1486

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...