Sedang kita sibuk melakukan persiapan menyambut Maulidur Rasul, penulis terbaca satu artikel yang dikeluarkan oleh orang yang bijak pandai mengenai sambutan Maulidur Rasul yang dikatakan ‘tidak elok’ kerana merupai amalan Kristian.
Kiranya, Islam meraikan Nabi Muhammad SAW dan Kristian pula meriah meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Isa AS yang dipercayai anak kepada Tuhan.
Jika betul kenyataan dan dakwaan itu, bagaimana hukum yang dijatuhkan kepada kita semua kerana kebiasaannya setiap tahun, Maulidur Rasul sememangnya diraikan dengan pelbagai cara termasuk berarak beramai-ramai keliling kampung sambil berselawat ke atas nabi dan berzanji.
Sepintas lalu, mungkin ada yang masih tertanya apa itu Maulidur Rasul?
Sepintas lalu, mungkin ada yang masih tertanya apa itu Maulidur Rasul?
Ia sambutan kelahiran Nabi Muhammad yang lahir pada 12 Rabiulawal. Ironinya, semasa zaman nabi, Maulidur Rasul tidak disambut kerana nabi ketika itu, banyak membincangkan persoalan mengenai agama.
Terdapat percanggahan para ulama mengenai tarikh kelahiran nabi, ada yang mengatakan maulidur rasul 9 dan 12 Rabiulawal. Mula disambut semasa zaman Fatimiyyah, timbul idea daripada pemimpin Islam ketika itu, mereka hanya mengadakan hari-hari tertentu sekadar mengajak umat Islam kembali memahami ajaran.
Melalui peristiwa itu, memperingati Maulidur Rasul dan Isra’ Mikraj diadakan setiap tahun Islam.
Penghayatan
“Sudah semestinya saya turut menyambut Maulidur Rasul kerana hanya sekali dalam setahun. Bagi saya dengan cara ini, kita dapat memperingati nabi kesayangan kita selain dapat menyemai perasaan cinta kepada Rasulullah SAW.
“Memang tidak dinafikan, masih ada segelintir orang semakin jauh untuk mengenal baginda, di sini, kita perlu memperbanyakkan selawat kepada baginda. Tidak rugi jika kita selawat kepada nabi, untung-untung dapat syafa’at nabi di akhirat kelak. Tapi bukan bermakna, kita hanya mengingati nabi semasa Maulidur Rasul saja, penghayatan mengingati nabi perlulah dilakukan dengan selawat setiap hari.
“Rasulullah sendiri pernah bersabda: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, hartanya dan manusia keseluruhannya.”
Nama: Fazli Shakir Yusuf
Umur: 21 tahun
Lokasi: Kedah
Email: shah_ahmad90@yahoo.com
Meriah!
“Kebiasaannya saya bersama keluarga dan jiran meraikan Maulidur Rasul bersama. Bagi saya, menyambutnya bukan saja untuk seronok semata-mata, tapi melalui pendekatan ini, secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan silaturahim saya dengan penduduk kawasan rumah saya.
“Umpamanya di kawasan rumah saya, keadaan menjadi sangat meriah sebab kami akan bergotong-royong beramai-ramai memasak bubur asyura, kena pula rumah saya memang berdekatan surau.
“Selalunya segala aktiviti akan diadakan di kawasan surau, kebiasaannya kami akan berjemaah solat subuh bersama seterusnya melakukan perarakan sambil selawat dari satu rumah ke satu rumah,” katanya.
Nama: Nurul Hidayah zakaria
Umur: 20 tahun
Lokasi: teluk Intan
Email: nurul_zakaria@yahoo.com
Dalil al-Quran membolehkan Maulidur Rasul
“Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” - (Surah al A’raf 157)
Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan Rasulullah SAW adalah orang yang beruntung. Merayakan Maulud Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.
“Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusan-Ku) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” - (Surah al Ma’idah ayat 12)
Erti ‘azzartumuhum’ ialah ‘memuliakan mereka’ (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151). Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulud Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.
“Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” - (Riwayat Muslim juz 11)
Saidina Umar r.a berkata kepada Nabi Muhammad SAW: “Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Baginda SAW berkata: “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar berkata: “Demi Allah, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” - (Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari)
Dalil bidaah
Ada dalil umum bagaimana Rasulullah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, maka Baginda mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu, ‘kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?
Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu Fir’aun dikaramkan dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Rasulullah bersabda: “Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu.” - (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Ulama lain yang membenarkan
Dalam kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar mengenai keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.
Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan mengenai Maulud Nabi SAW: “Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulud yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan mengenai awal perjalanan hidup Nabi SAW dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan mereka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bidaah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.
Imam Abu Syamah berkata: “Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun, bersetuju dengan hari Maulud Nabi Muhammad SAW memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad SAW, membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaan-Nya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk.” - (I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) - Imam Abu Syamah adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan guru kepada Imam An Nawawi.
(myMetro)
No comments:
Post a Comment