Friday, 26 September 2014

SEJARAH KEUJUDAN MASJID NABAWI


Pembangunan Masjid

Nabi ﷺ mendirikan Masjid Nabawi pada bulan Rabiul Awwal di awal-awal hijarahnya ke Madinah. Pada ketika itu, panjang masjid adalah 70 hasta manakala lebarnya pula adalah 60 hasta atau 35 meter panjang dan 30 meter lebar. Tatkala itu, keadaan fizikal Masjid Nabawi sangat sederhana, dan ianya amat berbeza keadaannya dengan apa yang kita lihat pada hari ini. Lantai masjid adalah tanah yang berbatu, atapnya pula dari pelepah kurma, dan terdapat tiga pintu. Sementara Masjid Nabawi pada ketika ini pula sudah sangat besar dan cantik. 


Ketika Masjid Nabawi hendak dibangunkan, keadaan persekitarannya terdapat bangunan yang dimiliki oleh Bani Najjar. Rasulullah ﷺ berkata kepada Bani Najjar, “Wahai Bani Najjar, berilah harga bangunan kalian ini?” Orang-orang Bani Najjar menjawab, “Tidak, demi Allah. Kami tidak akan meminta harga untuk bangunan ini kecuali hanya kepada Allah.” Bani Najjar dengan suka rela mewakafkan bangunan dan tanah mereka untuk pembangunan Masjid Nabawi dan mereka berharap pahala dari sisi Allah atas amalan mereka tersebut.

Anas bin Malik yang meriwayatkan hadis ini menuturkan, “Saat itu di kawasan pembangunan terdapat kuburan orang-orang musyrik, runtuhan bangunan, dan pohon kurma. Rasulullah ﷺ memerintahkan untuk memindahkan mayat di makam tersebut, meratakan runtuhan banggunan, dan menebang pohon kurma.”

Pada tahun 7 Hijrah, jumlah umat Islam semakin banyak, dan masjid menjadi penuh. Nabi ﷺ pun mengambil tindakan untuk memperluas Masjid Nabawi. Baginda ﷺ menambahkan keluasan masjid Nabawi dengan 20 hasta untuk panjang dan lebar masjid. Usman bin Affan adalah orang yang menanggung pembiayaan pembelian tanah untuk perluasan masjid pada ketika itu. Peristiwa ini terjadi setelah pulangnya beliau dari Perang Khaibar.

Masjid Nabawi adalah masjid yang dibangun atas landasan ketaqwaan. Di antara keutamaan masjid ini adalah, dilipatgandakannya pahala solat di dalamnya. Rasulullah ﷺ bersabda,

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

“Solat di masjidku ini lebih utama dari 1000 kali solat di masjid selainnya, kecuali Masjidil Haram.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Mimbar Nabi

Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي

“Antara rumahku dan mimbarku ada taman dari taman-taman syurga, dan mimbarku di atas telagaku.” (HR. al-Bukhari dan Muslim).

Awalnya Nabi berkhutbah di atas potongan pohon kurma. Kemudian para sahabat membuatkan baginda sebuah mimbar. Sejak saat itu Baginda ﷺ selalu berkhutbah di atas mimbar. Dari Jabir radhiallahu ‘anhu bahawa dahulu Nabi ﷺ saat berkhutbah Jumaat, (baginda) berdiri di atas potongan pohon kurma, lalu ada seorang perempuan atau lelaki Ansar mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, bolehkah kami membuatkanmu mimbar?’ Nabi menjawab, ‘Jika kalian mahu (silakan)’. Maka para sahabat membuatkan baginda mimbar. Pada Jumaat berikutnya, baginda pun naik ke atas mimbarnya, terdengarlah suara tangisan (merengek) pohon kurma seperti tangisan anak kecil, kemudian Nabi ﷺ mendekapnya. Pohon itu terus ‘merengek’ seperti anak kecil. Rasulullah mengatakan, ‘Ia menangis kerana kehilangan zikir-zikir yang dahulunya disebut di atasnya’.” (HR. Bukhari)

Di antara keagungan dan keutamaan mimbar ini, Rasulullah ﷺ melarang seseorang bersumpah di dekatnya, barangsiapa bersumpah di dekat mimbar tersebut dia telah berdusta dan berdosa.

لَا يَحْلِفُ عِنْدَ هَذَا الْمِنْبَرِ عَبْدٌ وَلَا أَمَةٌ، عَلَى يَمِينٍ آثِمَةٍ، وَلَوْ عَلَى سِوَاكٍ رَطْبٍ، إِلَّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

“Janganlah seorang budak lelaki atau perempuan bersumpah di dekat mimbar tersebut. Bagi orang yang bersumpah, maka dia berdosa…” (HR. Ibnu Majah, Ahmad, dan Hakim)

Raudhah

Raudhah adalah suatu tempat di Masjid Nabawi yang terletak antara mimbar baginda dengan kamar (rumah) baginda. Rasulullah ﷺ menerangkan tentang keutamaan raudhah,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي قال: “مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ، وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi ﷺ bersabda, “Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas telagaku.” (HR. Bukhari).

Jarak antara mimbar dan rumah Nabi adalah 53 hasta atau sekitar 26.5 meter.

Syufah Masjid Nabawi

Setelah kiblat berpindah (dari Masjid al-Aqsha mengarah ke Ka’bah di Masjidil Haram). Rasulullah ﷺ mengajak para sahabatnya membangun atap masjid sebagai pelindung bagi para sahabat yang tinggal di Masjid Nabawi. Mereka adalah orang-orang yang hijrah dari berbagai penjuru negeri menuju Madinah untuk memeluk Islam akan tetapi mereka tidak memiliki kaum kerabat di Madinah untuk tinggal disana dan belum memiliki kemampuan kewangan untuk membangunkan rumah sendiri. Mereka ini dikenal dengan ash-habu syufah.

Rumah Nabi

Mungkin perkataan 'rumah' terlalu berlebihan untuk menggambarkan kediaman Nabi ﷺ, kerana yang lebih tepat adalah kita sebut dengan istilah kamar. Kamar Nabi yang berdekatan dengan Masjid Nabawi adalah kamar baginda bersama ibuda kita, Aisyah radhiallahu ‘anha. Nabi Muhammad ﷺ dimakamkan di sini, kerana baginda wafat di kamar Aisyah, kemudian Abu Bakar radhiallahu ‘anhu dimakamkan pula di tempat yang sama pada tahun 13 Hijrah, lalu Umar bin Khattab pada tahun 24 Hijrah.

Keadaan Makam Nabi

Makam Nabi ﷺ menghadap kiblat kemudian di belakang beliau (dikatakan di belakang kerana menghadap kiblat) terdapat makam Abu Bakar as-Siddiq dan posisi kepala Abu Bakar sejajar dengan bahu Nabi. Di belakang makam Abu Bakar terdapat makam Umar bin Khattab dan posisi kepala Umar sejajar dengan bahu Abu Bakar. Di zaman Nabi kamar beliau berdindingkan pelepah kurma yang dilapisi dengan bulu. Kemudian di zaman pemerintahan Umar bin Khattab dinding kamar ini diperbaiki dengan bangunan kekal.

Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi gabenor Madinah dia kembali merenovasi kamar tersebut, lebih baik dari sebelumnya. Setelah dinding tersebut roboh dan menyebabkan kaki Umar bin Khattab terlihat (kemungkinan roboh kerana faktor alam sehingga tanah makam terjerus dan kaki Umar menjadi terlihat), Umar bin Abdul Aziz kembali menutupnya dengan bangunan batu hitam. Setelah itu diperbaiki lagi pada tahun 881 H.

Subhanallah, kejadian ini menunjukkan kebenaran sabda Nabi ﷺ bahawa jasad seorang yang mati syahid itu tidak hancur. Umar bin Khattab syahid terbunuh ketika menunaikan solat subuh.

Usaha Mencuri Jasad Nabi

Insiden pertama cubaan mencuri jasad Nabi dari makamnya pertama kali dilakukan oleh seorang pimpinan Dinasti Ubaidiyah, al-hakim bi Amrillah (wafat 411 H). Dia memerintahkan seorang yang bernama Abu al-Futuh Hasan bin Ja’far. Al-Hakim memerintahkan Hasan bin Ja’far agar memindahkan jasad Nabi ke Mesir. Namun dalam perjalanan menuju Madinah, angin yang kencang membinasakan kelompok Abu al-Futuh Hasan bin Ja’far.

Setelah gagal pada cubaan pertamanya, al-Hakim bi Amrillah belum bertaubat dari makar yang dia lakukan. Dia memerintahkan sejumlah orang untuk melakukan percubaan kedua. Al-Hakim bi Amrillah mengirimkan sekelompok orang penggali kubur menuju Madinah. Orang-orang ini diperintahkan untuk menetap beberapa ketika di daerah dekat Masjid Nabawi. Setelah memerhatikan keadaan sekeliling, mereka mulai melaksanakan proses mencuri jasad nabi dengan cara membuat terowong bawah tanah. Setelah dekat dengan makam, orang ramai menyedari adanya cahaya dari bawah tanah, mereka pun berteriak “Ada yang menggali makam Nabi kita!!” Lalu orang ramai memerangi kelompok penggali kubur ini dan gagallah usaha kedua dari al-Hakim bi Amrillah. Kedua kisah ini boleh dirujuk dalam buku Wafa al-Wafa, 2: 653 oleh as-Samhudi.

Cubaan untuk mencuri jasad Nabi untuk kali ketiga terus berlaku. Kali ini dilakukan atas perintah raja-raja Nasrani Maghribi pada tahun 557 Hijrah. Pada ketika itu Nuruddin az-Zanki adalah penguasa kaum muslimin di bawah Khalifah Abbasiyah. Dalam mimpinya Nuruddin az-Zanki bertemu Nabi ﷺ dan baginda mengatakan “Selamatkan aku dari dua orang ini -Nabi menunjuk dua orang yang kelihatan jelas wajah keduanya dalam mimpi tersebut-.” Nuruddin az-Zanki langsung berangkat menuju Madinah bersama dua puluh orang rombongannya dan membawa harta yang banyak. Setibanya di Madinah, orang-orang pun mendatanginya, setiap orang yang meminta kepadanya pasti akan dipenuhi keperluannya.

Setelah 16 hari, hampir seluruh penduduk Madinah datang menemuinya, namun dia belum juga melihat dua orang yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ dalam mimpinya. Dia pun bertanya, “Adakah yang tertinggal dari kalangan penduduk Madinah?” Masyarakat menjawab, “Ada, dua orang kaya yang sering menderma, mereka berasal dari Maghribi.” Masyarakat menyebutkan tentang kesolehan keduanya, tentang solatnya, dan apabila keduanya dipinta sesuatu, mereka pasti memberi. Ternyata dua orang inilah yang dilihat az-Zanki dalam mimpinya dan keduanya sengaja tinggal sangat dekat dengan kamar Nabi. Az-Zanki bertanyakan perihal kedatangan mereka ke Madinah. Keduanya menjawab mereka hendak menunaikan haji.

Az-Zanki menyelidiki dan mendatangi tempat tinggal mereka, ternyata rumah tersebut kosong. Saat dia mengelilingi tempat tinggal dua orang Maghribi ini, ternyata ada sebuah tempat - seperti ruangan kecil - yang ada lubangnya dan berdekatan di kamar Nabi. Keduanya tertangkap ‘basah’ ketika hendak mencuri jasad Nabi. Maka keduanya pun dibunuh di ruang bawah kamar Nabi tersebut. Baca selengkapnya di : Wafa al-Wafa 2: 648.

Untuk kali keempat, masih wujud usaha mencuri jasad nabi, dan kali ini, ianya dilakukan oleh orang-orang Nasrani Syam. Orang-orang ini masuk ke wilayah Hijaz, lalu membunuh para penziarah kemudian membakar tempat-tempat ziarah. Setelah itu mereka mengatakan bahawa mereka ingin mengambil jasad Nabi di makamnya. Ketika jarak mereka dengan kota Madinah tinggal hanya untuk tempoh perjalanan selama satu hari, mereka bertemu dengan kaum muslimin yang mengejar mereka. Mereka pun dibunuh dan sebahagiannya ditangkap oleh kaum muslimin (Rihlatu Ibnu Zubair, Hal: 31-32)

Amalan Yang Tidak Pernah Disuruh dan Dicontohi Oleh Nabi dan Para Sahabat Tetapi Sering Dilakukan Oleh Penziarah Ketika Menziarahi Masjid Nabawi

Sering kita jumpai pelawat Masjid Nabawi mengusap-usap kamar Nabi ini, bahkan ada yang menciumnya dalam rangka mengharap berkah. Syeikhul al-Islam Taqi ud-Din Abu'l-Abbas Ahmad Ibn al-Halim ibn Abd al-Salam mengatakan, “Ulama telah sepakat, barangsiapa yang berziarah ke makam Nabi Muhammad atau ke makam nabi selain baginda atau makam orang-orang soleh, makam sahabat, makam ahlul bait, atau selain mereka, tidak boleh mengusap-usap atau menciumnya, bahkan tidak ada satu pun benda mati di dunia ini yang disyariatkan makam nabi muhammad untuk dicium kecuali hajar aswad.” (Majmu’ Fatawa, 27:29)

Juga tidak dibenarkan untuk tawaf mengelilingi kamar Nabi. Tawar adalah salah satu bentuk ibadah, dan tidak diperkenankan beribadah kecuali hanya kepada Allah. Ada juga yang kita jumpai, yang mana sebahagian penziarah Masjid Nabawi, sujud mengarah ke makam Nabi Muhammad ﷺ . Ini semua adalah ritual-ritual yang haram dilakukan ketika berziarah ke Masjid Nabawi.

Perluasan Masjid Nabawi

– Nabi ﷺ  melebarkan Masjid Nabawi pada tahun ke-7 H, sepulangnya beliau dari perang Khaibar.

– Pada zaman Umar Al-Khattab, yakni pada tahun 17 H, Masjid Nabawi kembali diperluaskan. Umar juga menambahkan sebuah tempat yang agak tinggi di luar masjid yang dinamakan batiha. Tempat ini digunakan oleh orang-orang yang hendak mengumumumkan suatu berita, membacakan syair, atau hal-hal lainnya yang tidak terkait syiar agama. Umar sengaja mewujudkan bahagian ini untuk menjaga kemuliaan masjid.

–  Perluasan masjid seterusnya berlaku di zaman Usman bin Affan pada tahun 29 H.

–  Perluasan masjid Nabawi seterusnya dilakukan oleh Khalifah Umayyah, Walid bin Abdul Malik pada tahun 88-91 H.

– Perluasan masjid oleh Khalifah Abbasiyah, al-Mahdi dilakukan pada tahun 161-165 H.

– Perluasan oleh al-Asyraf Qayitbay pada tahun 888 H.

– Perluasan oleh Sultan Utsmani, Abdul Majid tahun 1265-1277 H.

– Perluasan oleh Raja Arab Saudi, Abdul Aziz al Sa’ud tahun 1372-1375 H.

–  Perluasan oleh Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Fahd bin Abdul Aziz al Sa’ud tahun 1406-1414 H.

–  Projek perluasan masjid yang saat ini sedang berlangsung dijalankan oleh Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Abdullah bin Abdul Aziz.

Mudah-mudahan dengan mengetahui sejarah singkat Masjid Nabawi ini, ianya dapat membantu membangkitkan kecintaan kita kepada Nabi ﷺ , para sahabat baginda, dan Masjid Nabawi itu sendiri. Semoga Allah sentiasa menjaga masjid ini dari orang-orang yang hendak melakukan keburukan, amin.


Oleh : Nurfitri Hadi
Transliterasi oleh : Jebat

Sumber  :  penaminang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...