Showing posts with label RAMADHAN AL-MUBARAK. Show all posts
Showing posts with label RAMADHAN AL-MUBARAK. Show all posts

Sunday, 5 August 2012

SUMBANGAN KHAS RAMADHANNULKARIM 1433 H

MAJLIS SUMBANGAN KHAS 
SEMPENA RAMADHAN 1433 H / 2012 OLEH MENTERI BESAR PERAK,
DATO' SERI DR. ZAMBRY BIN HJ. ABD. KADIR

PADA 5 OGOS 2012 (AHAD), BERTEMPAT DI DEWAN ORANG RAMAI BATU 14 LEKIR

KAMPUNG YANG TERLIBAT :
BATU 8 LEKIR
TANJUNG KEPAH
BATU 10 LEKIR
SUNGAI TIRAM
BATU 14 LEKIR
BATU 15 LEKIR
KG. KAYAN
DESA PEMARAK
ULU KAYAN

JUMLAH PENERIMA :  297 ORANG

SUMBANGAN DIAGIHKAN KEPADA :
ANAK YATIM
WARGA OKU
WARGA EMAS
FAKIR MISKIN












Semoga semua penerima sumbangan akan beroleh keberkatan..... InsyaAllah


 

Tuesday, 31 July 2012

HARI INI DALAM SEJARAH RAMADHAN....




Tahukah anda ?
9 Ramadan 93 H

Pada tarikh ini, setahun sebelumnya setelah Toriq Bin Ziyad (Timbalan Musa bin Nusoir) berjaya mengalahkan tentera Qouth dalam misi menawan Andalusia 92 H (Portugal & Sepanyol) dari peperangan di tengah laut hinggalah ke persisir pantai seterusnya ke daratan yang memakan masa sehingga 8 hari.

Beliau meneruskan penguasaanya terhadap wilayah atau kota-kota yang berbaki, sehingga ke musim sejuk, beliau meminta bantuan daripada Musa Bin Nusoir (Gabenor Afrika Bani Umayyah) untuk membantu melengkapkan misi penguasaan Andalusia serta menghalang saki baki penentangan tentera Qouth.

Pada tarikh 9 Ramadan 93 H, Musa Bin Nusoir tiba dengan bala tentera seramai 18 000 terdiri daripada tentera Arab juga disertai oleh beberapa Tabii'n.

Musa Bin Nusoir dengan bala tenteranya meneruskan perjalanan menguasai saki baki kota yang masih belum ditakluki oleh Toriq Bin Ziyad antaranya sebahagian Toledo, Malaga, Osuna, Cordova, Granada dan Seville juga menghapuskan saki baki penentangan oleh tentera Qouth.

Akhirnya mereka berjumpa di hujung Kota Toledo, kemudian bergerak melengkapkan penguasaan sehingga ke sempadan Perancis.

Sumber :
Kitab “Ramadhaniyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah
Cetakan Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.

Friday, 27 July 2012

RAMADHAN AL-MUBARAK


RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wajalla berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan.
Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai ibadat kepada Allah.
Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.
Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih. Dengan itu kita hendaklah b berusaha supaya tiada waktu berlalu tanpa amal salih sepanjang Ramadan, bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah.

RAHSIA PUASA.....

 


Semua ada enam iaitu:

1. Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.

2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.

3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (Surah al-Maidah : Ayat 42)

4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada ramai orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”

Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.

5. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasaannya. 

Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.

6. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.

ALLAH MELIHAT APA YANG ANDA BUAT
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...