Farazila Abdul Jabar, 31, isteri kepada Sham Kamikaze sebenarnya telah sah bercerai dengan suaminya sejak setahun lalu. Perkara itu disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor semalam dengan memutuskan mereka bukan lagi suami isteri sejak 1 September 2011.
Semuanya disebabkan tindakan rujuk yang dilakukan oleh pasangan tersebut secara perbuatan selepas 15 hari lafaz cerai. Berikutan itu, ia dikatakan tidak sah mengikut mazhab Syafie.
Klik untuk imej besar...
Sehubungan itu, mereka telah melakukan perbuatan 'muasyarah' iaitu yakin hidup sebagai suami isteri tanpa menyedari pernikahan mereka sudah terbatal. Malah pasangan itu juga tidak melaporkan lafaz cerai tersebut kepada pihak mahkamah.
Hakim Syarie, Atras Mohammad Zin memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pasangan tersebut ketika sebutan kes tuntutan itu semalam.
"Walaupun rujuk secara perbuatan itu tidak salah dari segi hukum tetapi defendan harus melihat ia mengikut konteks undang-undang dan mazhab yang diguna pakai di negara ini.
"Defendan sepatutnya merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah syariah untuk memutuskan perkara itu sebagai sah atau pun tidak," ujar Atras dipetik sebagai berkata.
Tambah hakim, kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya tidak lagi menjadi suami isteri selepas lafaz cerai itu dibuat walaupun Sham menganggap dia sudah rujuk semula dengan Farazila.
"Dengan ini mahkamah mengesahkan pihak defendan dan plaintif sah bercerai kali pertama pada tarikh tersebut dan rujuk perbuatan yang dibuat adalah tidak sah," ujarnya.
Untuk info, Sham dalam keterangannya memberitahu mahkamah dia telah melafazkan cerai terhadap Farazila di rumah mereka di Kondominium Sri Bayu USJ, Subang Jaya di sini kira-kira pukul 7 malam, 1 September 2011 dan kembali rujuk dengan perbuatan pada 16 September 2011.
Dia turut mengakui tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak mahkamah.
Sementara itu, Farazila turut memberi keterangan bahawa selepas kembali rujuk mereka telah tinggal bersama sehingga 30 Ogos 2012, iaitu pada hari dia memfailkan permohonan cerai terhadap Sham.
Berikutan pengesahan itu hakim memerintahkan plaintif menjalani edah muasyarah selama tiga bulan atau tiga kali suci bermula daripada tarikh dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan defendan.
Mahkamah turut memerintah Farazila untuk membatalkan permohonan cerai yang dibuatnya sebelum itu.
Sebagai maklumat bersama, Sham dan Farazila mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara kecil-kecilan di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor. Bagaimanapun, keretakan rumah tangga mereka mula kelihatan apabila isteri Sham menuntut cerai baru-baru ini atas sebab yang tidak jelas.
SUMBER : MYARTIS
No comments:
Post a Comment