Selain berceramah Ismail Kamus juga kerap diminta melakukan tahnik (membelah mulut) bayi yang baru dilahirkan.
Sekitar awal tahun 1990-an, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) antara program yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam.
Antara sebabnya, kepetahan dan kebernasan hujah yang disandarkan nas al-Quran dan hadis serta diselang seli lawak jenaka oleh salah seorang panelnya iaitu Datuk Ismail Kamus.
Gandingan serasi dan mantap beliau ketika itu adalah bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Din dan moderatornya, Datuk Dr. Hasan Ali.
Nama Ismail memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam yang meminati pengajian agama. Kemasyhuran namanya bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.
"Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang.
"Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah," katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Mengimbas kenangan itu, Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun.
Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.
"Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung.
"Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya yang kini berusia 64 tahun.
Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.
Bakat berceramah Ismail diasah sejak usia remaja. Malah, beliau pernah muncul johan dalam pertandingan syarahan agama di KIK. Beliau juga pernah muncul johan tilawah al-Quran di kampungnya semasa berumur 10 tahun.
Kini, walaupun pergerakannya tidak secergas dulu kerana masalah kesihatan, Ismail terus menerima undangan berceramah di seluruh pelosok negara dan juga di negara jiran.
"Cuma sekarang, saya kurangkan menerima undangan berceramah. Hanya yang dekat-dekat saya pergi sebab saya kini menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
"Program kuliah bulanan yang agak jauh cuma di Johor dan Singapura. Itupun sebulan sekali," jelas beliau.
Ditanya petua mengelak pendengar atau jemaah mengantuk, Ismail berkata, para penceramah perlu rajin dan banyak membaca supaya ada modal untuk bersyarah.
Katanya, beliau mengamalkan pesanan Imam Ghazali iaitu jangan membosankan khalayak yang mendengar ceramah atau majlis ilmu.
"Jangan baca buku agama sahaja. Tetapi baca buku yang meliputi semua bidang termasuk buku cerita supaya huraian kita mantap," katanya.
Ismail menambah, penceramah juga mesti mematuhi peraturan iaitu isi diikuti nas al-Quran, hadis dan perkataan para sahabat.
Kemudian katanya, boleh dikaitkan dengan cerita yang mempunyai pengajaran dalam masyarakat supaya mudah difahami.
"Kita juga boleh bagi perumpamaan dan sulam dengan jenaka yang tidak menyeleweng daripada al-Quran," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Menurut Ismail, golongan ulama mesti menasihati umara (pemimpin) dan tegas apabila bercakap tentang perkara hak.
Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pemimpin dan ulama apabila kedua-duanya elok maka eloklah rakyatnya, tetapi apabila ulamanya rosak maka rosaklah kedua-duanya."
"Ulama mesti bercakap benar. Jangan bimbang jawatan kita tergugat. Kita perlu mencontohi ulama silam termasuk Imam Ahmad bin Hanbal.
"Walaupun beliau diseksa dan dirotan dalam penjara, tetapi tetap mempertahankan al-Quran itu qadim, bukannya makhluk.
"Demikian juga Imam Syafie walaupun dirantai tetapi beliau tetap mempertahankan hujah yang benar," tegas beliau.
Pada zaman remajanya, Ismail aktif dalam sukan bolasepak sebagai pemain pertahanan dan juga bermain sepak raga.
"Saya juga suka memancing dan mencari ikan di sungai berdekatan rumah selain menolong ayah bertani menanam jagung.
"Tetapi semua itu terhenti apabila saya masuk KIK di mana tumpuan hanya kepada belajar dan menelaah," katanya.
Semasa di KIK, Ismail memberitahu, beliau sering dipanggil dengan nama Kamus kerana ramai yang beranggapan namanya adalah Ismail Kamus.
"Mereka tak tahu yang nama saya Ismail bin Kamus. Namun, itu juga yang menjadi faktor mengapa kejayaan saya menguasai bahasa Arab.
"Sebabnya, apabila ada perkataan yang tidak diketahui saya, guru-guru akan suruh rakan-rakan tanya pada "Kamus"," jelasnya yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor tahun 2011.
Nyaris jadi budak pejabat
Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.
"Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur.
"Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya," katanya sambil ketawa.
Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa
"Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya," kata beliau.
Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia.
Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.
"Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini," tambahnya.
Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.
"Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu.
"Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu," kata beliau.
Bercakap mengenai pengalamannya ke ceruk rantau untuk berceramah, Ismail tersenyum lebar sambil mengenangkan, pengalamannya yang penuh warna-warni. Ada suka dan ada duka. Yang pasti, beliau sekeluarga puas menjelajah seluruh negara.
"Pengalaman di Terengganu, semasa minum di lapangan terbang, kawan yang ajak minum tu hanya bayar untuk dia sahaja.
"Saya juga pernah berceramah di tempat yang jauh tetapi tidak disajikan makanan dan kereta rosak dalam perjalanan balik pada waktu tengah malam.
"Ada juga yang bagi RM50 saguhati. Sedangkan saya datang bertiga di Pulau Pinang. Ada juga yang bagi keropok selepas ceramah di Terengganu.
"Masa itu saya baru mula bekerja dan bukan ada duit sangat. Tetapi apabila kita bersabar, Allah bagi rezeki kemudiannya," jelas beliau.
Ismail juga pernah 'menggemparkan' tanah air apabila beberapa kali dikatakan 'meninggal dunia'.
"Kali pertama, semasa saya bercuti di Port Dickson. Sedang gunting rambut, radio pun telefon minta saya beritahu saya masih hidup.
"Kali kedua, pada tahun 2000 ketika saya di Mekah. Kali ketiga tahun 2010 semasa saya sedang menunaikan umrah.
"Alhamdulillah, saya masih hidup lagi," katanya ketawa.
Mengenai politik, Ismail tidak mahu lagi terlibat secara serius atau menjadi calon parti pada pilihan raya akan datang.
"Saya tak mahu bertanding lagi. Sepenggal dulu cukup la. Lagi pun, kesihatan saya tidak mengizinkan dan saya lebih suka memberi khidmat mengubat orang sakit di Pusat Perubatan Islam Darussalam Malaysia," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.