Warga emas kayuh basikal 60 kilometer cari rezeki
Atas rasa tanggungjawab untuk menjaga keluarga, Saad Bahadun, 64, tabah mengayuh basikal untuk mencari rezeki dengan memanjat pokok kelapa, pekerjaan yang telah dilakukan sejak berusia 15 tahun.
Warga emas ini gigih mengayuh basikal setiap hari dari rumahnya ke pekan Baling untuk memanjat pokok kelapa hanya dengan pendapatan tidak sampai RM15 sehari.
Setiap hari, Saad akan keluar seawal 7 pagi dan pulang lewat petang. Ketika dalam perjalanan jika ada pemilik pokok kelapa mahu menggunakan khidmatnya, Saad akan memberikan bantuan dengan menurunkan buah kelapa bagi mendapatkan upah.
Saad berkata jika beliau memetik 10 biji buah kelapa dari sebatang pokok, beliau akan mendapat tiga biji sebagai upah memanjat.
Katanya, sebatang pokok kelapa ada sekurang-kurangnya 10 biji kelapa yang sudah matang dan boleh dipetik.
Bagi penduduk kampung sepanjang jalan utama dari pekan Weng hingga ke pekan Baling dalam jarak hampir 30 kilometer, mereka amat mengenali warga emas ini kerana kegigihannya mengayuh basikal setiap hari untuk mencari rezeki .
Saad, yang mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 16 tahun, tinggal bersama isterinya, Faridah Che Endut, 40.
"Walaupun sudah berusia 64 tahun saya kena berusaha untuk memastikan anak-anak dan isteri mendapat makanan walaupun pendapatan tidak menentu sebagai pemanjat kelapa,” katanya.
Beliau turut melakukan kerja lain seperti menebas kebun getah dan menanam anak getah bagi menambah pendapatan. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment