Monday 30 January 2012

BUNYI ANEH DARI LANGIT YANG MENAKUTKAN...continued

Masih ingatkah kisah ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu?
BACA ....DI SINI
Ia mendapat perhatian antarabangsa apabila artikel mengenainya yang disiarkan di The Borneo Post telah dibincangkan secara hangat di dalam internet di seluruh dunia.
Lebih menggemparkan, bunyi yang sama juga sebelum itu dikatakan kedengaran di beberapa buah kawasan di dunia.
Malah ada pihak yang mula mengaitkannya dengan petanda awal kiamat.
Misteri mengenainya bagaimanapun bakal terjawab minggu depan apabila pasukan khas dari Agensi Angkasa Negara (AAN) selesai melakukan penyiasatan mereka.
Namun siasatan awal mendapati, ia mungkin hanyalah bunyi yang terhasil daripada mesin dari sebuah kilang kelapa sawit yang terletak di kawasan tersebut.

'Bunyi Aneh Dan Menggerunkan' Dari Langit Petanda Kiamat?

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Fadhillah Yusuf berkata, setakat ini pasukan yang ditubuhkan khas untuk menyiasat aduan berkenaan sedang bekerja keras untuk menyiapkan laporan mereka.
” Kita akan memeriksa frekuensi yang dihasilkan oleh mesin kelapa sawit itu sebelum dapat mengesahkan sama ia berpunca daripada alat tersebut atau sebaliknya,” katanya.
The Borneo Post tempoh hari melaporkan satu bunyi aneh telah kedengaran di Kampung Meranek, Kota Samarahan.
Tidak lama selepas bunyi itu kedengaran, satu kejadian gempa bumi kuat (7.3 skala Richter) berlaku di Sumatera, Indonesia.
Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kaitannya antara bunyi aneh itu dan kejadian gempa bumi tersebut.
Selain daripada kejadian gempa bumi di Sumatera itu, ada juga teori yang mengaitkan bunyi aneh itu dengan sebuah program yang dikenali sebagai High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP)
HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency(DARPA).
DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat. – MyNewsHub

KEJAM..!!!MAYAT BAYI TANPA KEPALA DAN SEBELAH KAKI DITEMUI DI SEBATANG SUNGAI....

AMPANG – Mayat bayi mengerikan tanpa kepala dan putus sebelah kakinya ditemui seorang lelaki ketika menjala ikan di sebatang sungai, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 1 petang berhampiran kawasan perumahan­ di Kuala Ampang.
.
“Bayi itu ditemui tersangkut pada celah-celah batu di tebing sungai berhampiran dengan kilang elektronik, ketika ditemui, mayat bayi tanpa pakaian itu dalam keadaan tertiarap dan telah hampir reput,” katanya.
.
Setakat ini, beliau berkata, jantina bayi itu masih belum dikenal pasti, pemeriksaan unit forensik polis mendapati, mangsa tidak berkepala dan kaki kanannya juga tiada.
.
“Mangsa dipercayai dibuang di lokasi lain dan dihanyutkan arus sungai sebelum dijumpai, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat,” katanya. (Sinar Harian)


Kejam...Mayat Bayi Dibuang Ditemui Tanpa Kepala, Kaki

Saturday 28 January 2012

IKAN MACKEREL RASTELLIGER KANAGURA SEJUK BEKU SEBERAT 48 TAN DI PULANGKAN SEMULA KE PAKISTAN

Ikan Mackerel segar

JAKARTA: Indonesia akan menghantar balik 48 tan ikan beku yang diimport secara haram dan didapati mengandungi bahan pengawet formalin kepada pengeksportnya dari Pakistan. 

Jurucakap Kementerian Kelautan dan Perikanan, berkata ikan jenis Mackerel Rastrelliger Kanagura itu, yang masuk melalui Pelabuhan Perikanan Samudera Belawan, Medan, Sumatera Utara, dimuat dalam dua kontainer.
Kemasukan ikan itu digagalkan dengan kerjasama Stesen Kuarantin Ikan Medan 
dan Stesen Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan Belawan. 

Langkah mengeksport kembali ikan itu membuktikan bahawa Kementerian Kelautan 
dan Perikanan bertindak tegas terhadap pengimport ikan yang tidak mematuhi 
peraturan sehingga membahayakan masyarakat, katanya. 

Ikan import dari Pakistan itu didapati mengandung formalin pada kadar antara 
0.25 - 0.8 peratus, sedangkan peraturan melarang sama sekali penggunaan 
formalin dalam bahan makanan. - BERNAMA 

ASTEROID SEBESAR SAIZ BAS HAMPIR JATUH KE BUMI !!!

Gambar Hiasan

WASHINGTON: Asteroid bersaiz sebuah bas hampir jatuh ke bumi hari ini di mana pakar bidang itu menyifatkan perkembangan terbabit tidak menimbulkan sebarang kebimbangan. 

Pengarah bersekutu Pusat Planet Kecil yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Gareth Williams, berkata asteroid yang dinamakan 2012 BX34 itu berukuran pada diameter enam dan 19 meter. - AFP


11 SISTEM PLANET BARU DITEMUI....

Teleskop Kepler dilancarkan ke angkasa lepas untuk mengesan planet menyerupai Bumi. - AGENSI


CAPE CANAVERAL 27 Jan. - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menemui 11 sistem planet baru, termasuk satu daripadanya memiliki lima planet yang mengelilingi orbit lebih hampir kepada bintangnya berbanding planet Utarid yang mengelilingi matahari.

Saintis Jack Lissauer semalam berkata, penemuan itu meningkatkan senarai planet dalam sistem solar sebanyak 729, termasuk 60 dinamakan sempena peralatan yang mereka gunakan, teleskop angkasa pengesan planet, Kepler.

Teleskop tersebut dilancarkan pada Mac 2009, mampu mengesan kehadiran cahaya kecil, namun dalam jumlah kerdipan tetap daripada sebarang bintang yang melaluinya.

Saintis kemudian boleh menentukan jika perubahan itu disebabkan planet yang melaluinya, berkait dengan apa yang dirakam Kepler.

Kumpulan saintis Kepler turut mempunyai 2,300 lagi 'calon' planet menanti untuk disahkan.

Namun, tiada satu pun sistem planet yang baru ditemui sama seperti sistem solar sedia ada, walaupun penemuan Kepler-33, bintang yang lebih besar dan tua daripada matahari, mempunyai banyak persamaan.

Bintang tersebut mempunyai lima planet berbanding lapan yang dimiliki oleh sistem solar kita, namun kesemuanya mengelilingi bintang mereka lebih dekat berbanding Utarid.

Planet tersebut mempunyai ukuran diameter antara 1.5 hingga lima kali saiz bumi. Namun pasukan tersebut belum mengesahkan jika terdapat sebarang kewujudan planet solid seperti Bumi, Marikh, Utarid atau ia dipenuhi gas seperti Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.

Pasukan Kepler sebelum ini menemui satu bintang dengan enam planet yang telah disahkan serta sistem kedua yang mempunyai lima planet. - REUTERS

BAYI GIGIT KEPALA ULAR


BAITULMAQDIS 28 Jan. – Seorang bayi berusia setahun mengejutkan ibunya apabila dia menggigit kepala ular yang masuk ke dalam rumahnya di timur bandar pelabuhan Haifa, semalam.

Ghadir Aleeyan berkata, dia berasa amat terkejut selepas melihat terdapat kepala ular sebesar 30 sentimeter dalam mulut anaknya, Imad Aleeyan.

“Ketika kejadian, saya sedang membancuh susu untuk Imas dan ternampak kepala ular di dalam mulutnya,” katanya. – AFP

Berita hanya setakat itu sahaja..... tidak diketahui samada ular tersebut masih hidup atau terus mati selepas digigit oleh bayi tersebut. Adakah ular tersebut berbisa??? Ular jenis apa??? Bayi lelaki atau perempuan??? Bagaimanakah keadaan bayi tersebut sekarang..???

RAKYAT MISKIN MAUT.... AKIBAT PEMBERIAN UBAT PERCUMA....

LAHORE - Kira-kira 100 pesakit jantung Pakistan maut dan berpuluh orang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas mengambil ubat yang dibuat oleh syarikat tempatan, kata pegawai hari ini.


Ketua kerajaan negeri wilayah Punjab, Shahbaz Sharif berkata, hampir 100 pesakit maut akibat reaksi teruk kepada ubat jantung tersebut.


"Kebanyakan mangsa merupakan pesakit miskin yang menerima ubat percuma daripada Institut Kardiologi Punjab (PIC) yang diselia kerajaan,'' katanya.


Kerajaan berkata, kira-kira 287 pesakit lagi dimasukkan ke hospital-hospital di Lahore selepas mengambil ubat tersebut.


Polis menahan pemilik tiga syarikat farmasi yang disyaki membekalkan ubat tersebut selepas siasatan awal menunjukkan ubat terbabit yang dibekalkan pembuat tempatan, tidak menepati standard ditetapkan.


Pesakit maut akibat penurunan mendadak jumlah darah putih, platelet dan kerosakan tulang sumsum.


Masalah itu mula dikesan pada Disember lalu apabila ubat tercemar ditemui pada sekurang-kurangnya satu kumpulan ubat yang menyebabkan 23 orang maut.


Sharif berkata, sampel ubat berkenaan telah dihantar ke makmal di Pakistan, London dan Paris untuk diuji.


Pegawai kerajaan, Khwaja Salman Rafiq berkata, punca kebanyakan kematian adalah akibat sekurang-kurangnya satu daripada lima ubat yang diberikan oleh PIC kepada pesakit.


"Ubat itu tidak lagi diedarkan oleh hospital dan farmasi,'' katanya. - AFP

KIAMAT KIAN HAMPIR..???!!!!!!!!!!!!!!!

PENTING: Kejadian Ribut Geomagnetik Petanda Kiamat Makin Hampir?

Satu fenomena letusan suar matahari dan semburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) telah dilaporkan berlaku di permukaan matahari pada 23 Januari lalu yang dikesan melalui satelit khas pemantauan matahari, SOHO dan STEREO milik NASA dan ESA.
Letusan ini telah menyebabkan fenomena ribut geomagnetik di bumi pada 24 Januari sekitar jam 15:00 UT (jam 23:00 Waktu tempatan).
Fenomena ini telah dilaporkan oleh stesen TV3 pada hari yang sama.
Untuk rekod, matahari adalah sebuah bintang bersaiz sederhana dan mempunyai aktiviti luaran (permukaan) seperti pembentukan tompok hitam (sunspot), penyemburan tenaga melalui fenomena seperti suar matahari (flare) dan penyemburan jisim korona yang boleh menyebabkan fenomena ribut suria (solar storm).
Aktiviti matahari ini mempunyai kitaran ‘senyap’ dan juga ‘aktif’ selama 11 tahun yang berulang yang dikenali sebagai kitaran suria (solar cycle).
Fenomena di mana matahari mengalami aktiviti ‘aktif’ ini di kenali sebagai solar maksimum (solar max) yang dijangka akan berlaku dalam tahun 2012 hingga 2013.
Kesan fenomena ribut suria dan interaksinya dengan medan magnet dan lapisan ionosfera bumi boleh menyebabkan ribut geomagnetik yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi radio  dan radar, sistem satelit dan gangguan kepada sistem navigasi seperti kompas yang berpandukan kepada magnetik bumi dan fenomena kenampakan aurora di kutub utara dan selatan bumi.
Ribut geomagnetik yang sangat kuat seperti yang berlaku pada tahun 1989 telah menyebabkan arus aruhan yang menyebabkan kebakaran alat transformers di jaringan elektrik voltan tinggi di Wilayah Quebac, Kanada.
Sebenarnya penulis agak panik juga bila mengetahui berlakunya fenomena sedemikian, bertambah panik lagi apabila ramai pihak mendakwa fenomena ini merupakan petanda kiamat makin hampir.
Sejauh manakah benar dakwaan berkenaan?
Agensi Angkasa Negara mempunyai jawapan saintifik berhubung fenomena tersebut.
Dalam kenyataan di laman webnya, AAN menjelaskan satu Nota Jemaah Menteri (N618/2011) daripada MOSTI telah dibentangkan pada 3 Ogos 2011 yang telah menerangkan fenomena berkaitan, dan juga jangkaan berlakunya solar maksimum pada tahun 2012 – 2013 ini, dan kesannya kepada bumi dan aktiviti berkaitan.
Menurut AAN, satu jawatankuasa bersama antara mereka dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum, juga telah diwujudkan untuk memantau dan menangani fenomena solar maksimum ini.
Berkenaan laporan ribut geomagnetik yang dilaporkan berlaku pada 23 Januari itu, AAN menjelaskan, laporan daripada National Space Weather Prediction Centre (NSWPC) dan National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA) menunjukkan ribut yang telah berlaku hanyalah pada skala G1 (bacaan paling rendah) dan bukannya G2 – G3 seperti yang dilaporkan oleh berita TV3.
” Ribut itu tidak memberi gangguan kepada sistem infrastruktur di bumi dan hanya telah mewujudkan fenomena aurora di kutub utara. Untuk makluman, skala G5 ialah bacaan yang paling tinggi.
” Untuk makluman juga, fenomena seperti ribut geomagnetik ini hanya memberi kesan yang ketara kepada negara-negara yang berada di kutub atau di latitud tinggi seperti USA, Rusia, Eropah manakala negara-negara yang berada berhampiran Khatulistiwa adalah lebih selamat.
” Sehubungan dengan itu, Malaysia diramalkan selamat dan tidak akan terkesan dengan fenomena berkaitan,” jelas AAN dalam kenyataan tersebut.
Untuk makluman, bermula bulan Januari 2012 ini, Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum akan menyediakan laporan berhubung dengan fenomena ini secara bulanan  untuk makluman umum.
Dengan penjelasan AAN itu, penulis berharap kita semua jangan cepat panik dengan apa yang berlaku.
Ingatlah, kiamat merupakan kerja Tuhan dan bukannya urusan kita.
Firman Allah bermaksud, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja.” (Surah Al-An’am: 59)
Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.
“Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Pengetahuannya.” (Surah Luqman: 34)
Ertinya dalam hadis ini Nabi SAW menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.
Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat.
Bukan sahaja Nabi SAW dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.
Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.
Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.
Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.
Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah.
Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat.” (Surah Luqman: 34).”
Wallahualam. –  SYAHRIL A. KADIR (MyNewsHub)

DATUK ISMAIL KAMUS - BERCERAMAH SENDIRIAN DI PADANG...???


Selain berceramah Ismail Kamus juga kerap diminta melakukan tahnik (membelah mulut) bayi yang baru dilahirkan.



Sekitar awal tahun 1990-an, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) antara program yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam.

Antara sebabnya, kepetahan dan kebernasan hujah yang disandarkan nas al-Quran dan hadis serta diselang seli lawak jenaka oleh salah seorang panelnya iaitu Datuk Ismail Kamus.

Gandingan serasi dan mantap beliau ketika itu adalah bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Din dan moderatornya, Datuk Dr. Hasan Ali.

Nama Ismail memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam yang meminati pengajian agama. Kemasyhuran namanya bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang.

"Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah," katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Mengimbas kenangan itu, Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun.

Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.

"Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung.

"Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya yang kini berusia 64 tahun.

Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.

Bakat berceramah Ismail diasah sejak usia remaja. Malah, beliau pernah muncul johan dalam pertandingan syarahan agama di KIK. Beliau juga pernah muncul johan tilawah al-Quran di kampungnya semasa berumur 10 tahun.

Kini, walaupun pergerakannya tidak secergas dulu kerana masalah kesihatan, Ismail terus menerima undangan berceramah di seluruh pelosok negara dan juga di negara jiran.

"Cuma sekarang, saya kurangkan menerima undangan berceramah. Hanya yang dekat-dekat saya pergi sebab saya kini menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

"Program kuliah bulanan yang agak jauh cuma di Johor dan Singapura. Itupun sebulan sekali," jelas beliau.

Ditanya petua mengelak pendengar atau jemaah mengantuk, Ismail berkata, para penceramah perlu rajin dan banyak membaca supaya ada modal untuk bersyarah.

Katanya, beliau mengamalkan pesanan Imam Ghazali iaitu jangan membosankan khalayak yang mendengar ceramah atau majlis ilmu.

"Jangan baca buku agama sahaja. Tetapi baca buku yang meliputi semua bidang termasuk buku cerita supaya huraian kita mantap," katanya.

Ismail menambah, penceramah juga mesti mematuhi peraturan iaitu isi diikuti nas al-Quran, hadis dan perkataan para sahabat.

Kemudian katanya, boleh dikaitkan dengan cerita yang mempunyai pengajaran dalam masyarakat supaya mudah difahami.

"Kita juga boleh bagi perumpamaan dan sulam dengan jenaka yang tidak menyeleweng daripada al-Quran," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Menurut Ismail, golongan ulama mesti menasihati umara (pemimpin) dan tegas apabila bercakap tentang perkara hak.

Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pemimpin dan ulama apabila kedua-duanya elok maka eloklah rakyatnya, tetapi apabila ulamanya rosak maka rosaklah kedua-duanya."

"Ulama mesti bercakap benar. Jangan bimbang jawatan kita tergugat. Kita perlu mencontohi ulama silam termasuk Imam Ahmad bin Hanbal.

"Walaupun beliau diseksa dan dirotan dalam penjara, tetapi tetap mempertahankan al-Quran itu qadim, bukannya makhluk.

"Demikian juga Imam Syafie walaupun dirantai tetapi beliau tetap mempertahankan hujah yang benar," tegas beliau.

Pada zaman remajanya, Ismail aktif dalam sukan bolasepak sebagai pemain pertahanan dan juga bermain sepak raga.
"Saya juga suka memancing dan mencari ikan di sungai berdekatan rumah selain menolong ayah bertani menanam jagung.

"Tetapi semua itu terhenti apabila saya masuk KIK di mana tumpuan hanya kepada belajar dan menelaah," katanya.
Semasa di KIK, Ismail memberitahu, beliau sering dipanggil dengan nama Kamus kerana ramai yang beranggapan namanya adalah Ismail Kamus.

"Mereka tak tahu yang nama saya Ismail bin Kamus. Namun, itu juga yang menjadi faktor mengapa kejayaan saya menguasai bahasa Arab.

"Sebabnya, apabila ada perkataan yang tidak diketahui saya, guru-guru akan suruh rakan-rakan tanya pada "Kamus"," jelasnya yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor tahun 2011.

Nyaris jadi budak pejabat

Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.

"Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur.

"Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya," katanya sambil ketawa.

Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa

"Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya," kata beliau.

Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia.
Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.

"Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini," tambahnya.

Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.

"Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu.

"Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu," kata beliau.

Bercakap mengenai pengalamannya ke ceruk rantau untuk berceramah, Ismail tersenyum lebar sambil mengenangkan, pengalamannya yang penuh warna-warni. Ada suka dan ada duka. Yang pasti, beliau sekeluarga puas menjelajah seluruh negara.

"Pengalaman di Terengganu, semasa minum di lapangan terbang, kawan yang ajak minum tu hanya bayar untuk dia sahaja.

"Saya juga pernah berceramah di tempat yang jauh tetapi tidak disajikan makanan dan kereta rosak dalam perjalanan balik pada waktu tengah malam.

"Ada juga yang bagi RM50 saguhati. Sedangkan saya datang bertiga di Pulau Pinang. Ada juga yang bagi keropok selepas ceramah di Terengganu.

"Masa itu saya baru mula bekerja dan bukan ada duit sangat. Tetapi apabila kita bersabar, Allah bagi rezeki kemudiannya," jelas beliau.

Ismail juga pernah 'menggemparkan' tanah air apabila beberapa kali dikatakan 'meninggal dunia'.

"Kali pertama, semasa saya bercuti di Port Dickson. Sedang gunting rambut, radio pun telefon minta saya beritahu saya masih hidup.

"Kali kedua, pada tahun 2000 ketika saya di Mekah. Kali ketiga tahun 2010 semasa saya sedang menunaikan umrah.
"Alhamdulillah, saya masih hidup lagi," katanya ketawa.

Mengenai politik, Ismail tidak mahu lagi terlibat secara serius atau menjadi calon parti pada pilihan raya akan datang.

"Saya tak mahu bertanding lagi. Sepenggal dulu cukup la. Lagi pun, kesihatan saya tidak mengizinkan dan saya lebih suka memberi khidmat mengubat orang sakit di Pusat Perubatan Islam Darussalam Malaysia," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

MISTERI HANTU DI MENARA CONDONG TELUK INTAN, PERAK.....


Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai penyebaran imej puntianak yang kononnya dirakam di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua (YDP) MPTI, Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya percaya imej entiti tersebut yang sekarang ini berleluasa disebarkan di laman rangkaian sosial, Facebook dan blog tidak sahih dan sengaja disensasikan.

Beliau juga kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka cerita cuba mengaitkan imej puntianak itu dengan kisah seorang wanita yang kononnya membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas Menara Condong Teluk Intan beberapa tahun lalu.

 

“Wanita yang dikatakan mati membunuh diri itu hanya cerita sensasi yang sengaja direka-reka untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya kesal kerana penyebaran foto yang diragui keasliannya itu kerana ia boleh memberi imej negatif kepada Menara Condong Teluk Intan yang merupakan antara ikon pelancongan terkemuka Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Ibrahim berharap masyarakat umum dapat membuat penilaian dengan baik berhubung penyebaran imej puntianak terbabit dan tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita mengarut itu.

Sumber : KOSMO!

Thursday 26 January 2012

FOBIA..!!!

Definasi fobia mengikut Kamus Dewan Edisi Empat: ketakutan yang amat sangat akan sesuatu. Berikut adalah 10 jenis fobia yang jarang tetapi wujud dalam masyarakat di serata dunia. Amat pelik dan mungkin bodoh bunyinya, namun ia tetap wujud dan berlaku.
Optophobia: Fobia untuk membuka mata
Mungkin fobia yang paling pelik di dunia! Mereka yang memiliki masalah ini, sukar untuk membuka mata sendiri. Tugasan harian adalah mimpi ngeri untuk pengidap Optophobia. Jika anda boleh membaca apa yang kami tulis ini, jangan bimbang, ternyata anda tidak memiliki tersebut, syukur.
Chorophobia: Fobia terhadap tarian
Apa sahaja yang berkaitan tarian termasuk kelab malam, boleh menjadi punca ketakutan kepada mereka yang mempunyai fobia jenis ini.
Geliophobia: Fobia terhadap gelak ketawa
Banyak kajian yang dibuat memperlihatkan ketawa adalah aktiviti yang baik untuk kesihatan. Ia mampu memperbaiki tahap mental dan jantung. Namun, untuk yang menderita Geliophobia, ketawa atau berada sekeliling orang yang sedang ketawa akan menyebabkan mereka mula berasa takut. Risau diketawakan orang menjadi antara punca kepada wujudnya Geliophobia.
Arachibutyrophobia: Takut mentega kacang melekat pada lelangit mulut
Senarai fobia yang pelik tidak akan lengkap jika kita tidak sebut Arachibutyrophobia. Penghidapnya hampir pasti tidak akan makan mentega kacang seumur hidup mereka!
Heliphobia: Takut kepada cahaya matahari
Pastinya satu keadaan yang amat sukr untuk mengelak daripada cahaya matahari sepanjang masa. Satu ia sukar untuk dilakukan, keduanya ia juga tidak elok untuk kesihatan (jika dijauhi sepenuhnya). Bermula dari rasa takut akan bahaya yang wujud pada matahari.
Deipnophobia: Takut akan berbicara atau berbual semasa makan malam
Ini adalah antara contoh fobia yang agak spesifik, takut bercakap waktu makan malam. Pengidapnya akan hanya diam sepanjang waktu makan. Ada bagusnya juga kerana diam ketika makan sebenarnya membantu dalam proses pencernaan yang lebih baik.
Neophobia: Takut kepada benda-benda baru
Ramai orang yang mahu mencuba benda baru dan pengalaman baru. Namun bagi penghidap Neophobia, mereka tidak mahu apa pun yang baru dalam hidup mereka. Penghidapnya akan kehilangan kualiti hidup dan tidak akan berani untuk merasai pengalaman-pengalaman baru dalam hidup. Kajian juga memperlihatkan mereka yang mempunyai masalah Neophobia, akan mempunya jangka hayat yang pendek. Ini terjadi akibat tekanan yang mereka lalui saban hari.
Syngenesphobia: Takut pada keluarga dan saudara mara
Rasanya ramai yang ada masalah camni, cuma ia mungkin melibatkan keluarga sebelah mentua. Semua kita ada rasa malu dan sakit hati dengan anggota keluarga kita pada masa-masa tertentu, namun penghidap Syngenesphobia menghadapai masalah itu secara keterlaluan dan sepanjang masa.
Ablutophobia: Takut untuk mandi dan membersihkan diri
Biasanya kanak-kanak yang malas mandi, namun adakalanya ia melibatkan orang dewasa. Namun harus ingat, Ablutophobia adalah fobia untuk mandi, bukannya malas untuk mandi. Ada banyak beza tu. Yang dekat hostel bau semacam itu kerap kali adalah pemalas, bukannya Ablutophobia.
Geniophobia: Takut kepada dagu
Yup…dagu, bahagian di muka kita itu. Ini mungkin fobia yang paling sengal di dunia ni. Selain itu ada juga fobia lutut (genuphobia), fobia tangan (chirophobia) dan fobia siku (ishicascadiggaphobia). Bagaimanapun, fobia-fobia tubuh badan tertentu ini boleh dirawat melalui terapi.

Tuesday 24 January 2012

KISAH DAN TAULADAN : KASIH SEORANG BAPA MISKIN.....

KISAH INI MESTI DIBACA OLEH SEMUA ANAK YANG BERGELAR PELAJAR….
ANAK YANG DIKISAHKAH ADALAH ANAK TAK KENANG BUDI….KURANG AJAR…. MEMANG ANAK DERHAKA…!!!!

Kisah kali ini diceritakan oleh seorang hamba Allah di sebuah taman perumahan di sekitar Ipoh(namanya dirahsiakan)…Kisah ini amat menyentuh jiwa saya apabila ianya diceritakan kembali oleh salah seorang anak murid pengajian saya di taman perumahan tersebut.

Ceritanya mengisahkan seorang ayah dari keluarga yang miskin..kerja sendiri hanya menoreh getah..datangnya jauh dari kampung..dengan menaiki teksi..membawa beg dan barang-barang milik anak gadisnya.. yang dapat melanjutkan pelajarannya di sebuah institusi pengajian di Ipoh..menyewa di rumah sewa bersebelahan dengan rumah tuan empunya cerita ini.

“Masih saya ingat lagi ustaz…. bagaimana senyuman bangga ayah si gadis ini… yang terlalu seronok kerana anak gadisnya berjaya melayakkan dirinya menjadi pelajar di Institut Pengajian Tinggi

“Saya dapat melihat dengan jelas..bagaimana ayah si gadis ini ..sibuk mengangkat barangan anaknya..dengan mulutnya riuh rendah..sambil melemparkan senyuman kepada dirinya…sebagai jiran kepada anaknya itu.Setelah bersalaman dengannya..ayah si gadis ini ramah menceritakan kejayaan anaknya..dan anaknya itulah yang diharapkan akan menempah kejayaan ..seterusnya dapat membela hidup mereka sekeluarga suatu hari nanti.

Sedang kami berbual.. terdengar anak gadis si ayah ini merungut…katanya “Ayah…kat sini tak ada tilam..la..takkan nak tidur atas toto aje ..nanti sakit lah badan along ni..!!” kata anak gadisnya merungut manja…sambil meneruskan bebelannya dengan suara yang kurang jelas.

Ayahnya hanya tersengih..sambil menjawab “nantilah ayah belikan..tengah ni duit ayah dah habis…. beli kelengkapan kamu…kita bukan orang senang…”
“Ok lah ok lah…tapi ayah beli cepat sikit tau…nanti macam mana along nak belajar..tidur tak selesa….nanti tak boleh tidur….haaa..ganggu prestasi along..!!”

Ye la…ye la…..nanti ayah beli lah….”

Sebulan telah berlalu…si ayah belum lagi nampak ..kelibatnya membawa tilam yang dijanjikan…mungkin..sedang kumpul duit nak beli tilam agaknya…maklumlah kerja kampung bukan orang senang….rumah yang anaknya sewa pun bayarannya kongsi ramai-ramai…satu rumah duduk lapan orang.

“Apa yang tak seronoknya ustaz ialah….budak-budak perempuan di sebelah rumah saya tu…pada mula mereka duduk menyewa tiada apa masalah ataupun gangguan tapi lama kelamaan..rumah sewa anak dara di sebelah saya ni dah mula dilawati oleh budak-budak lelaki…ada yang datang bermotosikal dan ada yang datang dengan menaiki kereta….

“Entahlah ustaz..bukan tak tegur..dah tegur dah….tapi jawab budak lelaki yang datang bertandang tu…pakcik ni sapa?…bapak diorang ke ..????” terkedu saya ustaz apa nak dikata lagi…..”Kadang-kadang ustaz bebudak lelaki tu duduk rumah sewa budak perempuan sampai ke tengah malam….gerun saya ustaz….!!”

“Pernah sekali tu saya terfikir untuk melaporkan perkara ini kepada penguatkuasa jabatan agama…tetapi saya risau pulak nanti bebudak lelaki tu akan serang saya balik..atau apa-apakan keluarga saya..saya pun ada anak dara ustaz…risau saya ustaz…apalah upaya saya ustaz…”

“Berkenaan dengan anak gadis si ayah yang malang ni tadi..setiap hari keluar dengan pakwenya…maklumlah orang sedang bercinta..bercouple…mak bapak pulak jauh ..jadi line clear…ustaz..kadang-kadang tengah malam baru nampak balik ke rumah sewanya..entah lah..sedih saya apabila mengenangkan bapanya yang cukup baik.”

Suatu petang ustaz….sedang anak gadis si ayah ni keluar macam biasa dengan pakwenya….ayah si gadis ini sampai ke rumah sewa anak gadisnya….dengan menaiki motorsikal..di belakang motorsikalnya itu terikat tilam kekabu….sambil dia berhenti ..lalu terkial-kial si ayah ini cuba menongkatkan motornya…kerana tilam kekabu itu berat…..kemudian si ayah itu menjerit memanggil nama anaknya.. sambil mengelap peluhnya yang mengalir laju…terdengar suaranya yang mengah..memanggil-manggil anaknya..tetapi tiada sahutan…sunyi…kerana hari itu hari cuti…ada yang dah balik kampung hujung minggu dan ada yang biasa la..tengah menenggek di belakang motorsikal pakwe mereka…termasuklah anak gadis si ayah yang malang ini.

“Saya pun keluar dari rumah….lalu memanggil si ayah ini tadi..abang..mari masuk berehat di rumah saya dahulu…bebudak ni tak ada mereka keluar agaknya…”kata saya kepada si ayah .”

“Ke mana mereka pergi….agaknya…keluar ramai-ramai ke.bila balik agaknya.?” tanya ayahnya…bertalu-talu…saya hanya mendiamkan diri….lalu saya berkata kepada si ayah…tak mengapa bang…rehat dulu..abang letih tu datang dari jauh….bawak masuk motor abang tu ke dalam laman rumah saya….”

Si ayah bersetuju kerana tiada pilihan lain…nak balik alang-alang..dah sampai ..bukannya dekat..lagipun bukan senang nak datang balik…..si ayah nampak keletihan sambil menolak motorsikalnya dengan beban tilam yang berat.

Si ayah menunggu…sehinggalah waktu maghrib telah masuk….si anak masih tidak balik lagi….saya mengajak si ayah masuk ke dalam rumah mandi dan menunaikan solat maghrib ..kemudian saya menjamunya makan malam.Si ayah nampak keberatan tapi apa kan daya kerana menunggu anaknya …lantaran hati kecilnya merasa risau kalau-kalau anaknya tidak selesa tidur di atas toto…takut kesihatan anaknya terganggu.

Sedang kami duduk menunggu anaknya….yang masih tidak balik walaupun waktu isyak sudah lama berlalu….tiba-tiba si ayah sudah mengesyaki sesuatu…..lalu bertanya kepada saya…”Anak saya ni keluar dengan siapa sebenarnya encik?”

Saya hanya terdiam…tak terkata apa-apa….lalu saya menjawab…”beginilah bang..abang tunggulah sampai dia balik ..lihatlah sendiri dan tanyalah sendiri dengannya.”

Si ayah semakin risau……dan semacam sudah mengesyaki sesuatu yang tidak baik sedang dilakukan oleh anak gadisnya itu.

Tepat pukul 2.15 pagi…barulah anak gadisnya pulang..dengan membonceng motorsikal pakwenya..memeluk mesra…pakwenya….berhenti di depan rumah sewa

Si anak gadis itu kemudiannya turun dari motorsikal pakwenya…sambil menanggalkan topi keledar diikuti oleh pakwenya,..itu….mereka tidak terus berpisah tetapi berbual mesra di hadapan rumah..tanpa menyedari…perlakuan mereka itu dilihat oleh kami berdua….

Mereka berpegangan tangan..sambil ketawa….bergurau….dan tiba-tiba..pakwe si gadis itu mencium bibirnya…!!!Subhanallah….saya tak boleh bayangkan keadaan ayahnya ketika itu yang bangun dan hendak bergerak menuju ke arah anaknya…tetapi saya tahan….kata saya kepada ayahnya..:”Jangan bang…sekarang dah pagi…jangan mengamuk tengah ni nanti..abang yang dapat malu…biarkan budak lelaki itu balik dulu”

Hampir setengah jam kami melihat babak mesra bercumbu dan berpeluk itu…barulah budak lelaki itu pulang…si gadis itu pun masuk ke rumahnya…..
Setelah beberapa minit barulah ayahnya menolak motorsikalnya…dan menghidupkan enjin lalu berhenti di depan pintu pagar rumah anaknya..seolah-olah dia baru sampai…lalu dia memanggil nama anaknya….

Anak gadis ini membuka pintu sambil merungut terkejut dengan kehadiran ayahnya pada lewat pagi sebegitu…sambil katanya..:”hah ayah apasal datang pagi-pagi macam ni…..tak boleh tunggu besok..?

Si ayah terus meluru lalu menampar…muka anak gadisnya…menjerit-jerit…marah..”Oooo…..buat apa datang pagi buta ye….kamu tahu tak… aku sampai sejak dari petang tadi..menunggu kamu…bawakkan tilam untuk kamu…..jenuh aku tunggu kamu….ni ha…pakcik ni yang tumpangkan aku..rehat..sembahyang …makan…..aku datang dari jauh letih…sebab risaukan kamu…sayangkan kamu..tapi kamu…keluar sampai jauh malam….dengan pakwe kamu ye…dah la tu kamu bercium beromen depan aku..anak tak tahu diuntung….aku malu tau tak…maluuuuu….anak kurang ajar..anak derhaka….anak tak mengenang budi…..aku jaga kamu….aku tatang kamu macam minyak yang penuh….macam ini balasan kamu…macam ni balasan kamu..pada aku..haaaa!!! anak sial……..berdebub…gedebab….kali ini saya lihat dia terajang anaknya ustaz…..saya masuk ke dalam rumah dan memegang si ayah dan memintanya mengucap….beristighfar….bersabar……….

Anak gadisnya…menangis meraung…merayu…memohon keampunan…..hu hu hu ayahhhh…ampunkan alongggg….huwaaaaa…ayah alongggg salah …along berdosa dengan ayah…..hunhuuuuuu…….!!

Kau memang anak celaka…..memalukan keluarga…orang tua..kalau mak kamu tahu ni pasti mak kamu akan sedih sangat….tadi..mak kamu nak ikut..rindu nak tengok kamu…aku tak bagi tau tak…. sebab nak bawak tilam ni….kamu tau tak tilam ni berat….tilam kekabu…aku bawak dari kampung jauh….terhoyong hayang aku..bawak motor…tadi pun nyaris tak kena langgar dengan lori..tau tak…??

Kata si ayah sambil menangis…….suasana pilu…..saya juga menitiskan air mata….sedih melihat ayah yang separuh abad,,,menangis kecewa dengan perbuatan anak gadisnya.

“Sudah..kau kemaskan barang….pagi ni jugak balik ikut aku….balikkkkk…ikut aku…cepatttt,………kata ayahnya….

Sejak itu ustaz saya tak nampak lagi anaknya itu balik ke rumah sewa disebelah rumah saya itu…Tilam yang dibawa oleh ayah si gadis itu masih ada di rumah saya ditinggalkan oleh ayahnya…kerana tidak mampu dibawa balik lantaran si ayah membawa anaknya balik pada malam itu juga.

Pada malam itu juga si anak gadis itu balik ke kampungnya,….dengan membonceng motor…tetapi bukan di belakang pakwenya…tetapi dibelakang bapaknya……kesiannn ustaz…kesiannnn……

Mudah -mudahan cerita ini jadi pengajaran buat anak-anak diluar sana …baik lelaki mahupun perempuan….janganlah merosakkan harapan ibu dan ayah…jadilah anak yang baik….soleh dan solehah…jangan menyakiti hati kedua orang tua kalian….janganlah menderhakai mereka…..kerana dosanya amat besar….!!!!!

(diambil dari perkongsian dari Facebook Ahmad Munawir Salehuddin Salehuddin , beliau merupakan Pengetua Sek.Men Tahfiz Darul Ridzuan Sg Siput, perak. Mari kita sama-sama menghayati cerita ini dan mengambil iktibar.)


Dari blog AAKJ
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...