Monday 16 January 2012

PROTEIN DARI SERAT SAWIT....

Enzim urai serat sawit kepada protein

Harga makanan ternakan semakin hari semakin meningkat memandangkan kebanyakannya ramuan utamanya seperti jagung diimport. 

Sebab itu, penghasilan makanan ternakan dalam negara termasuk yang berasaskan kelapa sawit mampu mengurangkan beban kewangan penternak.

Sisa pertanian seperti hampas isirung kelapa sawit (PKC) dan ekstrak isirung sawit (PKE) kaya dengan serat atau fiber.
Bagaimanapun unggas memerlukan lebih banyak protein untuk tumbesaran. Pada masa sama perut haiwan ternakan juga tidak sesuai dengan kandungan serat yang terlalu banyak.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, pegawai penyelidik kanan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Noraini Samat telah menjalankan kajian menghasilkan enzim yang dapat mengubah PKC menjadi makanan ternakan unggas.

Kajian beliau bermula dengan melihat isirong sawit yang merupakan hasil sampingan kilang minyak sawit dieksport.
"Kebanyakannya dieksport sebagai makanan ruminan sementara 10 hingga 15 peratus saja tinggal di negara ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor.

Dalam masa yang sama, negara terpaksa mengimport makanan untuk ternakan.
"Melihat kepada isirung sawit yang dijual dengan harga murah ke luar negara, kajian dijalankan bagi menggantikan makanan unggas dengan tambahan enzim yang boleh menguraikan fiber kepada protein,'' katanya.

Kajian beliau menjurus kepada penghasilan enzim pengurai fiber PKC menggunakan teknologi fermentation substrat pepejal yang menggunakan mikroorganism semula jadi, bahan mentah tempatan dan aktivitinya optimum pada suhu iklim tempatan.

Hasilnya terdapat tiga jenis enzim yang dihasilkan iaitu PKzyme dan PKzyme plus. Kedua-duanya dalam bentuk serbuk. Manakala PKzyme-L dalam bentuk cecair.

Malah enzim yang dihasilkan tidak mempunyai tambahan organisma diubahsuai secara genetik (GMO).
Kepekatan enzimnya juga lebih tinggi berbanding dengan enzim makanan yang mengandungi GMO. Ini secara langsung menyumbang kepada teknologi hijau.

"Malah produk ini berkesan dan menjimatkan kos melalui sistem penapaian peringkat pepejal," katanya.
Penghasilan enzim hanya menggunakan sisa pertanian tempatan dan sisa pemprosesan makanan sebagai bahan mentah.

Keberkesanan yang tinggi dalam penguraian bahan makanan berasaskan tanaman disebabkan oleh aktiviti cellulase, galactosidase dan xylanase bagi menghasilkan nutrien yang diperkayakan terdapat dalam bentuk gula boleh larut dengan tenaga metabolisma yang tinggi.

Noraini berkata, penggunaannya dalam makanan ternakan amat mudah iaitu hanya tambah pada makanan berasaskan PKC.

"Atau ditambah makanan yang mempunyai kandungan mannan yang tinggi seperti kopra, kelapa, guar gam atau diet berasaskan soya jagung," katanya.

Kajian menunjukkan penggunaan PKzyme secara meluas dapat mengurangkan sehingga 10 peratus kos makanan berbanding makanan berasaskan jagung dan soya.

Sementara kos makanan ternakan dapat dikurangkan sehingga 15 peratus berbanding diet komersial.
Manakala keuntungan bersih meningkat sehingga 17 peratus berbanding diet komersial dan penjimatan anggaran import sehingga 38 peratus atau kira-kira RM932 juta setahun.

Noraini berkata, potensi pasaran terkini bagi pasaran enzim di Asia Tenggara terutama bagi polisakarida bukan kanji (NSPs) amat luas.

Nilai pasaran dianggarkan RM154.09 juta dengan saiz pasaran 8,200 tan berdasarkan keuntungan yang didapati pada 2007 oleh Frost & Sullivan pada 2006.

Nilai dijangka meningkat sehingga RM262.8 juta atau 14,100 tan pada 2012.

Potensi pasaran enzim makanan ternakan dijangka kira-kira RM15.4 juta sejak saiz industri makanan ternakan iaitu kira-kira sembilan peratus daripada saiz industri makanan di Asia Tenggara

Bagi melindungi PKzyme daripada diciplak, Noraini mengambil langkah mendapatkan hak harta intelek (IP).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...