Tuesday 22 May 2012

SEMBAHLAH ALLAH SECARA SUKARELA DAN IKHLAS....


Untuk selamat di akhirat, kita hendaklah sengaja beribadat iaitu melakukannya semata-mata kerana Allah.  Ulama terdahulu mengajar kita berniat “Sengaja aku sembahyang kerana Allah” supaya kita mengikhlaskan atau melakukan sembahyang secara sukarela, daripada kehendak hati dan bukannya kerana paksaan.
Salah satu amalan yang membolehkan kita masuk syurga ialah dengan menyembah Allah kerana Allah swt adalah tuan punya syurga. Syurga adalah tempat melahirkan kegembiraan dan kasih sayang Allah swt kepada manusia yang menyembahnya. Abu Bakar r.a. berkata,
 ”Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah.”
Jika hendak masuk ke dalam syurga Allah, maka sembahlah Allah. Jika menyembah tuhan yang lain, maka mintalah syurga daripada tuhan yang lain.
Sembahlah Allah kerana dialah yang menciptakan kita. Allah menjadikan makhluk kerana ingin dikenali. Allah sengaja menciptakan alam ini. Tidak ada yang memaksaNYA kerana Allah adalah raja yang bebas. Di dalam sebuah hadits qudsi, Allah berfirman:
Aku adalah khazanah tersembunyi dan aku ingin diketahui. Kerana itu lalu aku menciptakan makhluk agar aku diketahui.
Sembahlah Allah kerana dialah memberikan rezeki dan menanggung segala keperluan kita.
Al-Mulk [15] Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...