Monday 7 October 2013

AJI-NO-MOTO (MSG) PEMBUNUH SENYAP ???

halia

TERDAPAT ribuan makanan terproses dikatakan mengandungi penambah perisa monosodium glutamate (MSG). Dalam bahasa Melayu monosodium glutamate dikenali sebagai mononatrium glutamat atau dalam bahasa mudahnya.... AJI-NO-MOTO..!!!



Kicap, sos tiram, mi segera, mi sup pasar malam dan masakan Cina adalah antara makanan yang biasa ditambah dengan MSG.

Masakan sejuk beku mudah sedia seperti nuget dan sosej juga biasa ditambah MSG. Sesetengah orang termasuk penulis mudah membezakan sama ada sesuatu makanan ditambah MSG atau tidak.

Sesetengah orang pula amat sukar membezakan sama ada kelazatan itu berpunca daripada bahan dimasak (contohnya ikan segar) atau kerana ditambah MSG.

Apakah motif penjual makanan dan pengeluar produk makanan terproses menambah perisa MSG?

Antara kaedah mendapatkan keuntungan dalam perniagaan sesuatu produk ialah apabila berlaku pembelian secara berulang.

Produk makanan lazat membawa pulangan tinggi kerana permintaan produk adalah tinggi.

Beberapa kajian sains mengaitkan MSG dengan pembentukan obesiti namun dengan keputusan berbeza-beza. Maksudnya terdapat kajian yang menunjukkan MSG menyebabkan obesiti dan sebahagian kajian lain pula tidak.

Kajian di China dalam laporan American Journal of Clinical Nutrition (June 2011) mendapati pengambilan makanan mengandungi MSG menyebabkan obesiti. Kajian selama 5.5 tahun itu melibatkan 10 ribu orang dewasa.

Golongan penyelidik mendapati subjek lelaki dan wanita yang mengambil MSG paling tinggi (5 gram sehari) mengalami berat badan berlebihan 30 peratus lebih mudah berbanding dengan subjek yang mengambil MSG pada paras paling rendah (kurang daripada 0.5 gram sehari).

10 gram sehari

Apabila penyelidik menyisih individu yang sudah sedia mengalami berat badan berlebihan pada permulaan kajian, risiko didapati meningkat sebanyak 33 peratus.

Kajian ini menunjukkan semakin tinggi MSG yang diambil seseorang (secara kerap dan berpanjangan maka risiko untuk mengalami pertambahan berat badan semakin meningkat.

Penduduk Amerika Syarikat mengambil purata dari 0.5 gram MSG sehari. Manakala orang Korea dan Jepun mengambil MSG pada kadar yang lebih tinggi, antara 1.5 gram hingga 10 gram sehari. 10 gram sehari sama dengan 2/3 sudu besar!

Penulis tidak tahu sama ada terdapat penduduk Malaysia yang mengambil MSG (dari makanan yang dimakan) pada kuantiti tinggi hingga 10 gram sehari.

Yang penulis tahu secubit MSG (mungkin beberapa puluh miligram) sudah cukup untuk melazatkan makanan yang disediakan untuk 3-5 orang.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan MSG dikaitkan dengan pembentukan obesiti.

Yang pertama ialah mereka yang mengambil makanan mengandungi MSG mungkin makan secara berlebihan.

Yang kedua, pengambilan MSG secara berterusan dikatakan menyebabkan pembentukan kekebalan leptin (leptin resistance).

Leptin ialah sejenis hormon dibina sel lemak dan satu daripada fungsinya adalah ia mengawal selera makan.

Kekebalan leptin berlaku apabila leptin sentiasa berada paras tinggi. Pada keadaan ini leptin sudah tidak dapat berhubung dengan otak dan individu terbabit akan sentiasa lapar sepanjang masa.

Semakin tinggi pengambilan MSG maka paras leptin juga didapati semakin tinggi. Semakin meningkat pertambahan berat badan seseorang maka semakin tinggi paras leptin didapati dalam darah.

Terdapat juga kajian menunjukkan tikus obes yang disuntik dengan MSG menjadi semakin obes pada akhir kajian. Tikus obes tersebut juga didapati mengalami diabetes jenis 2!

Kajian lain mendapati tikus obes yang disuntik MSG mengalami kekebalan insulin iaitu keadaan di mana reseptor insulin pada membran sel tidak dapat mengesan kehadiran insulin.

Keadaan ini biasanya akan menyebabkan paras glukos meningkat dalam darah dan seterusnya menyebabkan diabetes jenis 2.

FDA mengaku bahawa sesetengah individu didapati mengalami tindak balas jangka pendek dikenali sebagai MSG Symtom Complex.

Ia beraku terutama pada mereka yang mengambil MSG pada kadar yang tinggi dan mereka yang mengalami asma.

Simptom (MSG Symtom Complex) dikaitkan pengambilan MSG termasuk rasa kebas, pijar, rasa mencucuk-cucuk, muka berkerut, sakit dada, sukar bernafas, sakit kepala, loya, denyutan jantung deras, seakan-akan mabuk dan lesu.

Sesetengah orang akan mengalami sakit kepala dan sakit bahu sebaik-baik sahaja selepas mengambil makanan mengandungi MSG.

MSG terdapat dalam makanan tidaklah tinggi. Mereka ini mungkin tergolong dalam golongan sensitif MSG.

Di Amerika Syarikat dianggarkan 40 peratus daripada penduduk di sana sensitif kepada MSG. Angka di Malaysia tidak diketahui namun penulis percaya terdapat individu yang sensitif MSG.

Merosakkan sel

Penggunaan aditif makanan ini mendapat kritikan daripada kalangan pihak yang percaya MSG bukan sahaja dapat menyebabkan gejala yang disebutkan di atas malah mereka juga percaya pengambilan MSG boleh menyebabkan kematian.

MSG yang disahkan FDA dalam kategori bahan selamat dimakan (GRAS, generally regarded as safe) ini dikatakan bersifat excitotoxin.

Dr Russel Blaylock, penulis buku berjudul Excitotoxins: The Taste that Kills. menerangkan bahawa MSG mengaktifkan sel-sel secara berlebihan hingga menyebabkan ia mengalami kerosakan atau mati. Ini boleh menyebabkan pelbagai tahap kerosakan otak.

Ia seterusnya berpotensi pelbagai masalah seperti antara lain menyebab/memburukkan masalah pembelajaran, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan penyakit Lou Gehrig.

Menurut Dr Blaylock lagi reseptor glutamat telah ditemui dalam sistem pengaliran elektrik jantung.

Beliau berkata (tambahan penulis: sesetengah) kematian mengejut ahli sukan mungkin ada kaitan dengan mekanisme ini iaitu berpunca daripada kerosakan sel berpunca dari MSG.

ALLAH sayang kita. Dia mencipta halia dan mungkin pelbagai makanan (termasuk herba atau suplemen) lain yang dapat membantu mengatasi kerosakan saraf (dan mungkin sel) berpunca daripda pengambilan MSG.

Kajian oleh saintis Arab Saudi seperti dilaporkan dalam jurnal Pakistan Journal of Biological Science (Februari 2009) mendapati halia bersifat memelihara saraf daripada kesan ketoksikan MSG.

Dengan ini, deduksi dapat dilakukan terhadap pengambilan makanan tertentu seperti rumpai laut terhadap ketoksikan MSG.

Ia kaya dengan pelbagai bioflavonoids, karotenoid dan mineral yang berkemungkinan besar bersifat menghalang orang Jepun daripada mengalami kerosakan sel saraf walaupun menjadikan rumpai laut adalah bahan makanan utama mereka sepanjang hayat.

Pada masa hadapan kajian sains akan mendapati beratus malah beribu bahan makanan yang dikenal pasti bersifat menjaga sel daripada kerosakan berpunca dari pengambilan MSG.

Penulis tidak hairan jika ia berlaku kerana penulis adalah antara individu yang biasa menjangka sesuatu mekanisme (dalam bentuk deduksi) yang belum ditemui atau disahkan golongan saintis.

Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AHG ),  Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan, V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2.  Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu

Petikan asal :  sinar harian 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...