Wednesday 22 February 2012

NILAI SEPUNYA FALSAFAH YUNANI DAN ISLAM

DARI email seorang kawan.....

Paramenides merupakan anak murid kepada Xenophanes. Sebab itulah pandangan dan pemikiran falsafah beliau banyak dipengaruhi oleh Xenophanes. Antara ajaran Xenophanes ialah tuhan ini satu. Ajaran ini bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Yunani pada ketika itu yang mengatakan tuhan ini banyak dan setiap daripadanya mempunyai peranan yang tertentu. Xenophanes mengecam pemikiran masyarakat ketika itu yang menggambarkan tuhan dalam bentuk lukisan dan ukiran sebagai patung. Tuhan yang disembah oleh orang Yunani itu bukanlah tuhan yang sebenar dan mereka merupakan tokoh-tokoh pahlawan zaman silam yang banyak memberi sumbangan serta jasa.

            Pada Xenophanes, tuhan bukanlah terdiri daripada kalangan manusia dan tidak berfikir seperti manusia. Tuhan mentadbir alam ini dengan kuasanya yang tersendiri. Tuhan tidak menyerupai dan diserupakan dengan apa-apa pun. Xenophanes mengatakan pemujaan terhadap dewa-dewa adalah satu kepercayaan yang karut dan tahayul.

            Walaubagaimana pun, Xenophanes melihat kewujudan Tuhan dalam bentuk yang abstrak, tetapi Paramenides pula berusaha membuktikan kebenaran falsafah gurunya dalam bentuk logic dan kaedah rasional. Kalau Xenophanes menganggap tuahn dan ala mini saling melengkapi, Paramenides pula ingin membuktikan bahawa tuhan ini sebagai sesuatu yang ada sepenuhnya. Dengan kata lain, tuhan sudah sedia ada. Tuhan dan alam adalah satu kesatuan yang penuh dan tidak saling bergantungan antara satu sama lain.

            Paramenides juga mengatakan bahawa kebenaran itu adalah sepenuhnya. Pandangan beliau berbeza dengan pemikiran masyarakat Yunani pada ketika itu yang mengatakan kebenaran itu banyak. Apabila banyak maka Tuhan tidak ada kerana jika ada yang akan kekal maka akan ada juga yang akan hilang. Dengan erti kata yang lain, kebenaran itu boleh berubah-ubah.

            Paramenides menyatakan bahawa kebenaran itu satu dan kekal buat selama-lamanya. Kebenaran tidak boleh berubah-ubah dan hilang. Jika kebenaran itu berubah-ubah maka ianya bukanlah satu kebenaran melainkan hanya sebuah sangkaan semata-mata. Kebenaran yang dimaksudkan oleh Paramenides adalah satu pengetahuan dan bukan satu andaian atau sangkaan. Pengetahuan pula adalah satu keyakinan dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Menurut Paramenides juga, kebenaran tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasa ertikan, begitu juga dengan Tuhan yang tidak dapat dilihat tetapi kewujudanNya dapat diketahui oleh manusia.

            Untuk mencapai kebenaran manusia tidak boleh hanya bergantung kepada penglihatan semata-mata kerana kadang-kadang penglihatan itu dapat berubah-ubah dan juga terlalu banyak. Dengan ini mereka akan menjadi keliru sehingga apa yang dilihat dikatakan sebagai satu kebenaran yang hakiki. Hanya akal yang dapat membezakan antara yang benar dan yang palsu. Akal akan mengatakan yang ada tetap ada dan yang tiada mustahil ada. Paramenides menyatakan dalam logiknya bahwa kalau hanya ada yang satu maka tidak boleh tidak ada. Yang ada mesti ada dan tidak boleh dikatakan tidak ada. Kalau yang ada berasal dari tiada maka bagaimana pula dengan yang tiada boleh terjadi dan menjadi sendiri. Jadi yang ada adalah wujud dan kekal.

            Jika Xenophanes banyak berbicara soal ketuhanan, Paramenides pula banyak berkata berkaitan kebenaran sebagai pokok utama dalam menyatakan pemikiran falsafahnya. Paramenides tidak cuba memberi gambaran mengenai rupa tuhan tetapi beliau melihat kebenaran itu sebagai satu kebulatan yang sempurna.

            Bagi Paramenides, yang ada itu bulat dan mengisi ruangdan pada tepian bulatan itu bersambung-sambung dan tidak putus-putus. Jarak dari tengah adalah sama ke semua arah. Begitu juga bentuk dan saiznya. Tidak ada yang besar atau kecil, panjang mahupun pendek. Sebab itulah Paramenides melihat bulatan itu sebagai satu kesatuan yang lengkap bagi menggambarkan keadaan yang satu itu. Dunia dari sudut pandangan Paramenides berada dalam keadaan yang static dan tidak tetap. Yang ada dan yang satu itu kekal tidak berubah-ubah. Pemikiran itu barangkali berasaskan keadaan bumi dan planet yang bulat dan hukum tabii yang tetap.

            Paramenides nampaknya cuba menggunakan logic untuk membuktikan hujah-hujahnya. Walaupun apa yang diperkatakan oleh Paramenides tidak dapat dibuktikan secara empiric tetapi beliau telah memberikan asas yang kukuh kepada perkembangan secara logic. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan Paramenides merupakan bapa falsafah logic Yunani. Beliau lebih layak mendapat gelaran ini daripada Plato. Idea Paramenides adalah asli manakala logic Plato banyak bersandar kepada pemikiran ahli falsafah terdahulu. Namun Plato lebih dikenali kerana perbicaraannya meliputi pelbagai bidang dan ruang kehidupan. Selain itu, Paramenides tidak meninggalkan karya-karya penting dan berpengaruh sebagaimana Plato. Sungguhpun begitu, buah pemikiran Paramenides berkaitan kebenaran amat menarik kerana dibuat berdasarkan kepada asas-asas logic yang tidak bertentangan dengan akal fikiran.
                                     
Sebagaimana yang selalu diandaikan oleh para cendekiawan Islam kini didapati, bahawa berkemungkinan ahli falsafah di Yunani terdiri daripada kalangan nabi-nabi yang mana kita ketahui bilangan nabi adalah banyak. Tidak mustahil jika Allah ingin mencampakkan nabi ditengah-tengah orang-orang Yunani yang hebat dalam berhujah dengan menggunakan pemikiran falsafah mereka. Kita sebagai seorang dai’e seharusnya lebih meningkatkan ilmu dan makrifat tentang Allah melebihi orang awam kerana telah menjadi peranan kita dalam memperkatakan kebenaran yang hakiki ini.



PARAMENIDES
Pelopor Falsafah Logik Yunani
Tg Abdul Ghaffar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...