Thursday 8 November 2012

GENG LOGEN DAN GANG NAGEN YANG AKTIF MENYAMUN TUMPAS DI PERAK !

 Shaharon Anuar menunjukkan parang dan wajah kedua-dua suspek yang dipercayai Geng Logen

BATU GAJAH – Polis menumpaskan dua kumpulan samun yang dikenali sebagai Geng Logen dan Geng Nagen setelah menahan 10 lelaki dalam beberapa serbuan di kawasan ini, Jumaat lalu.

Penangkapan lapan ahli Geng Logen yang terdiri daripada tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lima lelaki berusia 17 hingga 20 tahun itu berjaya menyelesaikan kes samun di rumah kongsi tapak pembinaan projek Hospital Batu Gajah pada 30 Oktober lalu.

 Dari kiri: Raja dan Tamilarasu

Hasil tangkapan itu katanya, pihaknya berjaya menemui semula barang-barang yang telah disamun antaranya tiga telefon bimbit pelbagai jenama, tablet dan dua kad sim mangsa.

“Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita warga Indonesia sedang tidur telah disamun oleh 10 lelaki bersenjatakan parang, besi dan kayu melibatkan kerugian bernilai RM3,000.

“Kita juga merampas dua parang panjang dan motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian samun itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan antara kumpulan pada 29 September lalu dan siasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Tiga pelajar tersebut diberi jaminan untuk menjalani peperiksaan SPM.

“Mereka ditahan reman sehingga 9 November dan kita akan mohon reman dilanjutkan untuk siasatan seterusnya bagi memastikan sama ada mereka terlibat dalam kes–kes samun lain,” katanya.
Shaharon Anuar berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan bagi membantu siasatan.

“Mereka adalah V K Nithiya Raja, 20, dan M Tamilarasu, 18, yang masing-masing tinggal di Taman Seri Wangsa.

“Mereka dinasihatkan supaya menyerah diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Suriyantee melalui talian 05-3629222,” katanya.

Sementara itu, Shaharon Anuar berkata, Geng Nagen yang dianggotai dua lelaki berusia 20 dan 22 tahun pula berjaya ditahan selepas samun satu keluarga di Kampung Pinang A, Pusing, dengan nilai kerugian mencecah RM7,000.

Katanya, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam satu lagi kes samun di Kampung MTD Batu Gajah dengan melibatkan kerugian berjumlah RM450.

“Hasil soal siasat berjaya menemui semula barang-barang yang disamun iaitu kamera digital, subang hidung dan telefon bimbit.

“Kita turut merampas pisau lipat, parang, seluar jeans dan dompet. Mereka di tahan reman hari ini (semalam) selama tujuh hari,” katanya.
SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...